69 kontena sisa berjaya dihantar pulang dari Filipina ke Kanada semalam, lapor Reuters.
Penghantaran itu menamatkan krisis diplomatik antara kedua-dua negara yang bermula sejak 2013 lagi. Kontena itu dihantar ke Filipina dari Kanada dan dilabelkan sebagai plastik boleh kitar semula, sedangkan ia hanyalah sisa sampah termasuklah kertas dan lampin.
Mahkamah Filipina pada 2016 memutuskan ia perlu dihantar semula ke Kanada.
Isu itu capai kemuncak selepas Kanada terlepas tarikh akhir mengambil semula kontena itu yang ditetapkan pada 15 Mei lalu, menyebabkan Presiden Rodrigo Duterte memberi amaran “perang” kepada Kanada dan memanggil balik duta Filipina di negara itu.
Jurucakap Metro Vancouver Kanada dipetik berkata sisa itu akan dihantar ke kemudahan sisa di Burnaby di mana ia akan dilupuskan, menambah ia mungkin tidak akan sempat dilakukan pada hujung minggu ini.
Isu eksport sisa jadi topik hangat dalam negara rantau Asia Tenggara.
Malaysia adalah negara terbaru yang mahukan sisa diterimanya dihantar balik kepada negara asal yang kebanyakannya adalah negara Barat.
Sejak bulan lepas pula, kementerian memeriksa 123 kontena mengandungi sisa pepejal dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, China, Sepanyol, Kanada, Australia, Netherlands, Jerman, Arab Saudi, Singapura, Bangladesh, Norway dan Perancis yang dibawa masuk menerusi permit import (AP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JSJPN).
Sebelum ini, kementerian telah menghantar pulang lima kontena ke Sepanyol menggunakan undang-undang tempatan seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menjadikan mandatori kepada pengimport atau pengeksport untuk menghantar balik sisa itu ke negara asal.
Malaysia juga dilaporkan akan jadi negara Asean pertama menghantar balik dua kapal kontena sisa sampah balik ke Australia. – 30 Jun, 2019.
Komen