HASRAT Umno menganjurkan perhimpunan besar-besaran menyambut kerjasama dengan PAS masih dalam perbincangan namun akan dimuktamadkan secepat mungkin apabila dua parti itu menyambung rundingan piagam kerjasama Julai ini, kata pemimpin kanan parti Islam itu.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata apa yang pasti perhimpunan itu harus memberi mesej jelas pentingnya penyatuan ummah demi memartabatkan Islam dan Melayu.
“Tarikh (perhimpunan) belum putus lagi. Kita akan adakan mesyuarat jawatankuasa induk kali kedua, dijangka dalam bulan Julai nanti.
“(Mesej perhimpunan adalah) Perpaduan ummah dalam memperkukuhkan agenda Islam Melayu dan perpaduan negara,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Minggu lalu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan Umno dan PAS akan menganjurkan satu perhimpunan mega serentak dengan pelancaran piagam kerjasama dua parti itu.
Beliau membayangkan perhimpunan itu akan lebih besar daripada rapat umum membantah hasrat kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember lalu, lapor Utusan Online.
Bagaimanapun, Tajuddin tidak mendedahkan tarikh dan tempat perhimpunan.

Dalam pada itu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata perhimpunan tersebut perlu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat pentingnya Melayu dan Islam bersatu.
“Perhimpunan itu kita tidak bincang secara terperinci lagi. Adalah pandangan dan cadangan untuk mengadakan itu.
“Pokoknya kita hendak mengembleng tenaga orang Melayu dan Islam dalam satu perhimpunan untuk menimbulkan kesedaran kenapa perlunya penyatuan ummah ini.
“Tidak ada apa-apa motif lain untuk mengancam (mana-mana pihak) hanya untuk himpunan bagi menyatakan pentingnya penyatuan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Sementara itu, Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad berkata perhimpunan besar-besaran itu adalah bukti kerjasama dua parti itu bukan sekadar retorik.
“Perpaduan ini bukan bersifat sementara tetapi bersungguh-sungguh dari keikhlasan pemimpin. Ia dibuktikan melalui piagam bersama… kita bukan main-main.
“Ia menunjukkan ada persefahaman antara Umno dan PAS. Kita akan saling bantu membantu antara satu sama lain,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Jalaluddin Alias pula berkata perhimpunan itu sebagai simbolik kerjasama dua parti.
“Perhimpunan ini menunjukkan kita bukan saja bersedia menghadapi PRU15 tetapi turut sama-sama bersatu dan main peranan untuk perjuangkan hal berkaitan kesejahteraan rakyat,” katanya, yang juga Ahli Parlimen Jelebu.
Sementara itu Pemuda PAS Khairil Nizam berkata perhimpunan itu bakal memberi isyarat hak Melayu dan Islam terjaga dengan penyatuan dua parti tersebut.
“Kita nak beritahu perlunya ada solidariti kalangan Melayu dan formula penyatuan kerjasama ini bagi memastikan Islam sebagai agama persekutuan dihormati,” katanya.
Beliau bagaimapun mengingatkan perhimpunan itu bukan bertujuan perkauman.
“Orang bukan Islam tidak perlu takut. Rekod pemerintahan di Kelantan lebih 25 tahun manakala Terengganu buat kali kedua, tidak berlaku ketidakadilan kepada orang bukan Islam.” katanya. – 30 Jun, 2019.
Komen