Umno rancang himpunan terbesar Melayu bersama PAS


Pengerusi penganjur perhimpunan, Tajuddin Abdul Rahman berkata perhimpunan akan diadakan serentak dengan pelancaran piagam kerjasama Umno-PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2019.

UMNO bercadang untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran bersama PAS, lebih besar daripada Himpunan anti-ICERD pada 8 Disember lalu, lapor Utusan Online.

Pengerusi penganjur perhimpunan, Tajuddin Abdul Rahman berkata perhimpunan akan diadakan serentak dengan pelancaran piagam kerjasama Umno-PAS.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata selain disertai ahli kedua-dua parti, perhimpunan akan melibatkan seluruh umat Islam Melayu dan Bumiputera di negara ini.

“Perhimpunan ini akan menjadi satu event terbesar kebangkitan ummah dan kita juga mengalu-alukan kehadiran golongan bukan Melayu dalam program pelancaran piagam kerjasama Umno-Pas ini.

“Ia kerana ia merupakan suatu perkembangan positif dalam erti kata ia menjurus kepada perpaduan dan kesatuan jitu rakyat terutama daripada kelompok majoriti penduduk terbesar negara ini,” katanya seperti dilapor portal itu. 

Bagaimanapun, Tajuddin tidak mendedahkan tarikh dan lokasi himpunan tersebut yang menurutnya mencerminkan perpaduan kaum Melayu.

“Perpaduan yang dijana dari kumpulan kaum terbesar ini penting bagi mencapai kestabilan, keamanan dan ketenteraman di Malaysia,” katanya lagi. 

Pada 8 Disember lalu puluhan ribu peserta melayu berhimpun di dataran merdeka menentang usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). – 26 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen