JAWATANKUASA Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam belum membuat sebarang ketetapan mengenai pelantikan pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang diumumkan Putrajaya kelmarin, kata pengerusinya William Leong.
Leong berkata beliau juga akan berbincang terlebih dahulu dengan ahli jawatankuasa yang lain sama ada perlu atau tidak memanggil pengerusi Suhakam yang baharu, Othman Hashim.
“Saya akan bincang dengan ahli-ahli jawatankuasa dulu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Leong ditanya pendirian jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang beliau pengerusikan berhubung pelantikan pesuruhjaya Suhakam, yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada Rabu.
Leong juga ditanya bila pihaknya akan memanggil Othman, sama seperti mereka memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya.
Bagaimanapun Leong menjelaskan pihaknya sebelum ini sudah berbincang mengenai calon pengerusi Suhakam dan proses lantikannya dengan suruhanjaya itu dan bahagian hal ehwal undang-undang Jabatan Perdana Menteri sebelum ini.
“Tetapi kita tidak dapat cadangkan calon kerana ketika itu senarai calon sudah disampaikan untuk keputusan perdana menteri,” katanya lagi.
Seksyen 5 Akta Suhakam 1999 menyatakan pesuruhjaya suruhanjaya itu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, atas syor perdana menteri. Yang di-Pertuan Agong juga diberi kuasa menetapkan salah seorang pesuruhjaya yang dilantik sebagai pengerusinya.
Semasa Latheefa dinamakan sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu pada 4 Jun lalu, Leong membuat kenyataan kesal dan membantah keputusan perdana menteri hanya beberapa jam selepas pelantikan itu diumum.
Leong dan beberapa anggota jawatankuasanya yang lain membantah pelantikan Latheefa kerana tidak dirujuk kepada mereka terlebih dahulu, selaras dengan janji Pakatan Harapan untuk reformasi institusi.
Ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man malah mencadangkan jawatankuasa itu digantung kerana ia tidak ada peranan dalam sistem pelantikan jawatan utama.
Jawatankuasa itu kemudian memanggil Latheefa untuk menjelaskan beberapa isu berhubung pelantikannya. Pertemuan itu dijadualkan pada 4 Julai ini.
Berdasarkan terma rujukannya, jawatankuasa ini ditubuhkan untuk meneliti pelantikan jawatan-jawatan penting dalam negara seperti pelantikan ke SPRM, Suhakam, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Malaysia bagi memastikan ia dilantik berdasarkan merit.
“Cadangan penubuhan jawatankuasa ini juga adalah selaras dengan hasrat Janji 16, Buku Harapan,” kata terma rujukan itu.
Selain Tuan Ibrahim daripada PAS, jawatankuasa pilihan khas ini turut dianggotai oleh Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang-PH-PKR), Ngeh Koo Ham (Beruas – PH-DAP), Fong Kui Lun (Bukit Bintang – PH-DAP), Dr Hasan Bahrom (Tampin – PH-Amanah), dan Ismail Sabri Yaakob (Bera – BN-Umno). –30 Jun, 2019.
Komen