Othman Hashim dilantik pengerusi Suhakam


BEKAS diplomat Othman Hashim dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang baharu, kata Pejabat Perdana Menteri.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini menyebut, Othman dilantik berkuat kuasa 27 April lalu bagi tempoh tiga tahun sehingga 2022.

Beliau menggantikan Razali Ismail yang letak jawatan dua minggu lebih awal sebelum mandat tugasnya berakhir pada tarikh yang sama.

Jawatan terakhir Othman selepas menjadi wakil Malaysia ke beberapa negara ialah ketua setiausaha Kementerian Luar, sebelum persaraannya pada 30 Disember 2016.

Selain pelantikan Othman, kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini juga mengumumkan pelantikan tujuh pesuruhjaya Suhakam.

Dua pesuruhajaya yang baru dilantik, selain Othman, ialah bekas hakim Mohd Hishamudin Md. Yunus dan ahli akademik Medaline Berma dari Sarawak.

Semasa menjadi hakim, Hishamuddin terkenal dengan keputusan penting beliau yang mendukung kebebasan asasi dan individu dalam kes-kes melibatkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (KDN) yang telah dimansuhkan.

Berma adalah pensyarah di Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau berpengalaman dalam isu pembangunan luar bandar dan wanita.

Sementara itu, mereka yang dilantik semula ialah Mah Weng Kwai, Godfrey Gregory, Lok Yim Pheng, Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh dan Jerald Joseph.

Othman memulakan kerjaya sebagai pegawai tadbir dan diplomatik pada 1979 dan sempat berkhidmat sebagai sebagai duta ke Republik Czech dan Amerika Syarikat serta menjadi wakil tetap Malaysia ke PBB.

Suhakam sebelum ini pernah beberapa kali dipimpin oleh diplomat sejak awal penubuhannya.

Pengerusinya yang pertama ialah Musa Hitam, bekas Utusan Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu. Beliau pernah mengetuai Malaysia ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB (UNHCR) antara 1993 dan 1998, serta sempat menpengerusikannya pada 1995.

Musa, yang juga bekas timbalan perdana menteri (1981-1986), mengetuai Suhakam antara 1999 dan 2002.

Beliau diganti bekas Peguam Negara Abu Talib Othman, yang kemudiannya diganti oleh bekas diplomat Hasmy Agam, sebelum diambil alih oleh Razali.

Hasmy dan Razali pernah dilantik sebagai presiden Majlis Keselamatan PBB serta beberapa jawatan utama lain di pentas diplomatik antarabangsa.  – 26 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen