Pasukan petugas khas bukan untuk puaskan hati, kata keluarga Koh


Ragananthini Vethasalam

Apa yang sebenarnya terjadi kepada Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat hanya boleh diketahui jika orang yang berwibawa dilantik ke pasukan petugas khas, kata isteri Koh, Susanna Liew. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2019.

PASUKAN petugas khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kehilangan paksa dua aktivis bukanlah untuk memuaskan hati sesiapa tetapi untuk melakukan perkara yang betul, kata keluarga Pastor Raymond Koh.

Keluarga Koh dan persatuan masyarakat kesal dengan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam iaitu kerajaan tidak dapat memuaskan hati semua pihak selepas barisan anggota pasukan yang diumumkan pada Rabu itu dipersoalkan.

“Kita tidak boleh puaskan hati semua pihak. Ada yang gembira dan ada yang tidak. Saya tidak boleh beri jaminan dapat memuaskan hati semua yang terlibat.

“Kita akan teliti jika ada sebarang aduan dibuat,” kata Dr Mahathir semalam.

Bantahan disuarakan kerana bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mokhtar Mohd Noor dilantik menyertai pasukan petugas khas tersebut. Mokhtar sebelum ini mewakili polis dalam siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ke atas kehilangan aktivis Amri Che Mat.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan barisan anggota pasukan itu berkata mereka diberi tempoh selama enam bulan untuk mendapatkan jawapan mengenai kehilangan Koh dan Amri.

Menteri Dalam Negeri Muhyididin Yassin pada Rabu mengumumkan pasukan petugas khas bagi menyiasat laporan Suhakam mengenai kehilangan paksa Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2019.

Pada 3 April lalu, Suhakam mengeluarkan laporan yang merumuskan bahawa pasukan Cawangan Khas Bukit Aman terlibat dalam kehilangan paksa Amri dan Koh.

Peguam yang mewakili keluarga Koh, Jerald Gomez memberitahu The Malaysian Insight Dr Mahathir perlu memberi perhatian kepada gesaan supaya kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas yang lebih berwibawa.

“PM (perdana menteri) sepatutnya faham bahawa kita sedang bercakap mengenai prinsip asas keadilan dan kesamaan. Ini bukan tentang puaskan hati sesiapa. PM yang kata kerajaan beliau akan menjunjung kedaulatan undang-undang, termasuk keadilan asasi dan undang-undang yang tidak berat sebelah,” katanya.

“Kalau kerajaaan tak mahu pertimbang pandangan keluarga ini, fikirkanlah apa yang orang ramai mahukan ialah pasukan petugas khas yang bebas, adil dan berwibawa. Kita harap kerajaan akan bubar pasukan ini dan bentuk pasukan yang baru.”

Isteri Koh, Susanna Liew turut senada dengan Gomez. Katanya, selama lebih dua tahun mereka tidak mendapat keadilan yang sewajarnya.

“Ini bukan tentang senangkan hati sesiapa. Ini tentang buat apa yang betul, prinsip asas keadilan dan kesamaan,” katanya.

“PM cakap tentang menegakkan kedaulatan undang-undang. Hampir tiga tahun mangsa yang hilang secara paksa ini dan keluarga mereka tak dapat keadilan sewajarnya.

“Kerajaan berhutang pada mereka dan seluruh rakyat, keadilan…hanya keadilan. Kita hanya boleh tahu apa yang sebenarnya terjadi pada Koh, Amri, Joshua Hilmy dan Ruth jika orang yang berwibawa dilantik ke dalam pasukan petugas khas.”

Walaupun bersyukur dengan inisiatif kerajaan menubuhkan panel untuk menyiasat laporan Suhakam, Liew berharap pasukan itu lebih bebas, tidak berat sebelah dan berwibawa. – 28 Jun, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen