Kita tidak boleh puaskan hati semua pihak, kata PM


SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melancarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) di Putrajaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 27 Jun, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan pasukan petugas khas yang dilantik kerajaan bagi menyiasat kehilangan beberapa aktivis, berkata Putrajaya tidak akan dapat memuaskan hati semua orang.

Beliau berkata kerajaan ada tugas untuk menjalankan tanggungjawabnya walaupun jika ia tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengumumkan barisan ahli Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat kes kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh.

“Kita tidak boleh puaskan hati semua pihak. Ada yang gembira dan ada yang tidak. Saya tidak boleh beri jaminan dapat memuaskan hati semua yang terlibat.

“Kita akan teliti jika ada sebarang aduan dibuat,” kata Dr Mahathir ketika ditanya jika ada isu yang timbul ketika Pasukan Petugas Khas menjalankan tugas mereka.

Perdana menteri berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan pelantikan bekas hakim Mahkamah Tinggi Abd Rahim Uda bagi mengetuai enam anggota Pasukan Petugas Khas yang akan menyiasat kes kehilangan Amri dan Koh.

Pasukan itu juga akan menyiasat dapatan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang mengaitkan polis Cawangan Khas dengan kehilangan kedua-dua individu berkenaan dalam tempoh enam bulan, bermula dengan kes kehilangan Amri.

Bagaimanapun isteri Amri, Norhayati Ariffin membantah pelantikan tersebut kerana terdapat percanggahan kepentingan salah seorang anggota pasukan petugas yang ditubuhkan untuk menyiasat kehilangan suaminya.

Beliau mendakwa anggota berkenaan, Mokhtar Mohd Noo, yang sebelum ini mengetuai jabatan undang-undang polis, terlibat secara langsung dalam siasatan ke atas kehilangan Amri.

Beliau menambah Mokhtar dilibatkan apabila pegawai penyiasat, Khor Yi Shuen memindahkan kes itu ke Bukit Aman.

Bantahan yang sama turut dibuat oleh keluarga Koh yang turut mempersoalkan keanggotaan pasukan petugas itu, kerana ia tidak seperti yang dicadangkan pihaknya.

Pihak keluarga berkata cadangan memasukkan wakil Majlis Peguam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan sebuah NGO, yang akan mencerminkan suatu pasukan yang seimbang, bebas, telus dan boleh dipercayai orang ramai tidak diambil kira.

Lima lagi anggota pasukan petugas khas ialah bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mokhtar Mohd Noor; Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, Zamri Yahya, Pengarah Bahagian Operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Muhammad Bukhari Ab Hamid; Pegawai Undang-undang Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara Mohd Sophian Zakaria dan Setiausaha Bahagian, Suruhanjaya Pasukan Polis Kementerian Dalam Negeri, Mohd Russaini ldrus. – 27 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen