GURU di zaman sekarang sukar untuk mendidik murid yang semakin peka dengan hak mereka apatah lagi hukuman rotan yang sudah tidak lagi diterima masyarakat.
Murid dirotan guru bukan perkara pelik di masa dulu. Tetapi tidak semua guru diberi kebenaran berbuat demikian dan hukuman hanya terhadap murid lelaki yang melakukan kesalahan tertentu sahaja.
Kebiasaannya, pada zaman ini, guru yang merotan atau menghukum murid akan berdepan risiko apabila ibu bapa atau penjaga datang mengadu, paling teruk akan disaman.
Baru-baru ini, seorang murid perempuan di sebuah sekolah menengah di Johor Bahru menjadi tajuk berita kerana dirotan oleh gurunya selepas memanggil gurunya itu ‘pondan’. Murid itu dirotan pada lengan dan pahanya. Ibu bapanya kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian itu.
Perkara ini turut disiasat oleh Kementerian Pendidikan sehingga mencetus perdebatan apakah tindakan guru itu patut.
Video menunjukkan seorang wanita yang mengamuk selepas mendakwa anaknya dirotan seorang guru juga tersebar di media sosial.
Guru-guru yang ditemui The Malaysian Insight berkata kejadian di Johor Bahru itu tidak sepatutnya berlaku. Mereka juga mengakui guru itu mungkin melampaui batas dan berkemungkinan akan dikenakan tindakan.
Tetapi pada masa yang sama, mereka berkata sudah tentu ada sebab mengapa guru itu tidak dapat menahan rasa marah sehingga merotan muridnya.
Seorang guru di sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di Selangor yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata beliau percaya guru tersebut mungkin sudah lama menahan sabar dengan kerenah muridnya itu.
“Memang siapa yang mulakan dulu dia lah yang bersalah. Guru itu mungkin patut tenangkan dirinya dulu, rakam perbuatan murid sebagai bukti dan bawa ke pihak atasan. Itu mungkin langkah yang patut diambil,” katanya.
Kata Lim, beliau juga merotan muridnya yang degil tetapi hanya pada tapak tangan dan lengan, itupun selepas mengambil kira jenis kesalahan mereka.
“Rotan ini tujuannya untuk mencegah, supaya murid akan faham yang kesalahan mereka itu tidak boleh diterima dan diulangi. Kalau merotan berpadanan dengan jenis kesalahan, ia memang berkesan,” katanya lagi. – 27 Jun, 2019.
Komen