MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik mengarahkan siasatan menyeluruh ke atas tindakan seorang guru merotan murid perempuan di sebuah sekolah menengah di Johor Bahru, demi keadilan kepada kedua-dua pihak.
Arahan dibuat susulan sebuah video yang tular menunjukkan seorang wanita mengamuk selepas mendakwa anaknya dirotan seorang guru pada lengan dan paha. Guru itu dikatakan berbuat demikian kerana murid itu memanggilnya “ah qu lao shi” atau “cikgu pondan” tanpa sebab.
“Saya mengambil maklum akan kejadian ini dan telah mengarahkan pihak PPD (pejabat pendidikan daerah) untuk menjalankan siasatan agar keadilan dapat diberikan kepada kedua pihak iaitu guru dan murid yang terlibat,” kata Maszlee dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau positif kes itu akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat mengikut tatacara dan prosedur operasi standard kementerian.
“Sehingga kini, laporan yang saya terima dari PPD Johor Bharu, siasatan telah mula dijalankan dan PPD juga akan mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa murid berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Maszlee juga menegaskan pihaknya menolak sebarang bentuk kekerasan ke atas murid.
Beliau juga menggesa masyarakat supaya berhenti daripada menyebarkan video dan gambar berkaitan kes itu.
Harian Metro sebelum itu memetik Pengarah Pendidikan Johor Azman Adnan mengesahkan kejadian berlaku di sebuah sekolah menengah di Johor Bahru.
“Setakat pagi ini ia masih dalam siasatan polis kerana murid dan penjaga sudah membuat laporan polis,” katanya.
Rakaman yang tular sepanjang dua minit 28 saat itu menunjukkan seorang wanita mempersoalkan tindakan seorang guru lelaki yang katanya merotan anak perempuannya.
Guru itu menjelaskan tindakannya tetapi terus dipertikaikan oleh ibu berkenaan. Katanya, tindakan murid itu memanggil beliau “ah qua” atau pondan tidak wajar.
“You ini cikgu ah, tak boleh macam ini buat tau. You memang salah.
“Dia cakap sama you saja mah… cakap mah… Dia ada pukul you tak. Dah cakap sama you sorry, kenapa kamu nak… Kalau dia ada pukul you, kamu pukul dia tak apa. Jangan macam ini,” kata wanita itu sambil merakamkan video berkenaan.
Guru itu bagaimanapun menjawab murid berkenaan meminta maaf hanya selepas dirotan, dan dipercayai selepas disuruh oleh rakan-rakannya. – 25 Jun, 2019.
Komen