Mangsa tahfiz terbakar beritahu mahu terus belajar di sekolah yang sama


Muzliza Mustafa

Selepas tragedi yang membunuh rakan-rakan dan guru-gurunya, mangsa kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terselamat, Mohamad Shahir Sharifuddin masih mahu meneruskan pengajiannya di sana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2017.

SELEPAS apa yang terjadi, mangsa tahfiz terbakar yang terselamat, Mohamad Shahir Sharifuddin, 11 beria-ia mahu terus belajar agama dan menghafal Al-Quran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah selepas keluar dari hospital, kata ayahnya.

“Saya dah berbincang dengannya di hospital. Dia cakap nak ke tahfiz yang sama. Katanya dia seronok di sana, dan sebagai ayah, saya tak memaksa. Lagipun, sejak belajar di sana, banyak perubahan yang dia tunjukkan,” kata Sharifuddin Musa.

Shahir merupakan antara pelajar yang terselamat dari kebakaran itu. Ketika kejadian, dia melompat dari tingkat dua bangunan.

Bagaimanapun, 20% badannya melecur, sementara rusuk dan tulang pinggulnya patah.

Selain itu, Shahir mengalami pendarahan dalaman, namun ia berjaya dihentikan melalui pembedahan yang dijalankan beberapa hari selepas kejadian itu.

Ayahnya berkata Shahir juga menjalani pembedahan bagi memulihkan lecur di badannya.

“Dia masih belum sembuh dan sebaik saja lecur di kulitnya pulih, barulah doktor akan merawat tulangnya yang patah,” kata Sharifuddin.

Keadaan Shahir masih lemah tetapi dia mampu bercakap, dan diberi makan melalui tiub.

“Dia masih belum boleh terima pelawat. Tapi di Unit Rawatan Rapi (ICU) ini, dia semakin pulih,” kata ayahnya.

Kata Sharifuddin, sejak dimasukkan ke pusat tahfiz itu, anaknya menunjukkan banyak peningkatan.

“Dia mampu mengahafal Surah Yassin dalam tiga bulan. Sejak belajar di sana, dia semakin penyabar dan tak pernah tinggalkan solat. Sekolah tahfiz bukan lagi untuk akhirat, tapi mempersiapkan anak-anak untuk menghadapi dunia sekarang,” katanya.

Sharifuddin antara ahli keluarga mangsa tahfiz tebakar yang hadir di mahkamah di Jalan Duta hari ini selepas diberitahu yang dua daripada tujuh suspek kebakaran yang meragut 23 nyawa pada 14 September lalu didakwa atas tuduhan membunuh.

“Saya nak tengok muka mereka. Saya nak tahu macamana mahkamah kendalikan kes tapi tak boleh selepas diberitahu hanya ahli keluarga tertuduh saja dibenarkan masuk ke kamar perbicaraan,” kata Sharifuddin.

Harapannya agar mereka dihukum setimpal atas apa yang mereka lakukan.

“Fokus saya adalah anak saya. Saya akan ikuti perkembangan kes ini apabila masa mengizinkan,” katanya.

Dua remaja didakwa dengan 23 tuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Jalan Duta hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan pembunuhan dengan niat itu secara bersama antara pukul 4.15 pagi hingga 6.45 pagi pada 14 September lalu di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Tiada pengakuan direkodkan, dan Majistret Siti Radziah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 28 November ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menyimpulkan yang ia adalah kebakaran dengan sengaja.

Ketujuh-tujuh suspek, yang kesemuanya di bawah umur kecuali seorang berumur 18 tahun juga menghadapi tuduhan penyalahgunaan dadah.

Seorang dilepaskan dengan ikat jamin kerana polis tidak mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwanya di mahkamah. – 28 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen