Kes bakar tahfiz, 6 remaja didakwa bunuh, salah guna dadah


Muzliza Mustafa Melati A. Jalil

Salah seorang ibu kepada mangsa kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat dilihat di luar Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 28 September, 2017.

ENAM remaja lelaki berumur antara 12 dan 18 tahun, yang disyaki bertanggungjawab dalam kebakaran tragik di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat dua minggu lalu, didakwa berasingan atas tuduhan salah guna dadah dan membunuh 23 orang.

Semua suspek didakwa hari ini di tiga mahkamah majistret berasingan di Kuala Lumpur — sebuah mahkamah bagi pertuduhan membunuh dan dua mahkamah berlainan bagi kes salah guna dadah.

Dua daripada mereka didakwa atas kesalahan membunuh, dan kemudian dituduh menggunakan dadah bersama empat yang lain.

Peguam Boestamam Ahmad yang mewakili pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah sebagai peguam pemerhati memberitahu wartawan tertuduh kes bunuh itu tidak diwakili oleh peguam.

Katanya lagi, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan ke atas dua remaja itu di hadapan Majistret Siti Radziah Kamaruddin.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan pembunuhan dengan niat itu secara bersama antara pukul 4.15 pagi hingga 6.45 pagi pada 14 September lalu di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Siti Radziah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 28 November ini.

Enam remaja yang dihadapkan ke mahkamah hari ini adalah antara tujuh budak lelaki yang sebelum ini ditahan reman sejak 16 September lalu.

Seorang budak berumur 15 tahun hari ini dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000.

Sementara itu, tiga budak lelaki yang dikaitkan dengan kejadian bakar pusat tahfiz itu mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menggunakan dadah berbahaya mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, kata peguam Noor Svetlana Mohd Noor Nordin.

Mereka adalah antara lima suspek reman dua minggu itu yang dituduh di hadapan Majistret Zilfinaz Abbas.

“Mereka mengaku tidak bersalah kerana kita belum terima laporan patologi,” kata Noor Svetlana yang mewakili ketiga-tiga budak lelaki itu berumur masing-masing 12, 16 dan 17 tahun.

Dua lagi budak lelaki mengaku bersalah di mahkamah yang sama.

Seorang lagi tertuduh, Mohd Shahrulnizam Ikmal Shafi-in, 18, didakwa atas dua tuduhan menggunakan dadah jenis syabu dan ganja mengikut akta yang sama di sebuah mahkamah lain. Dia mengaku bersalah atas kedua-dua tuduhan. Majistret Umzarul An Nur Umar menetapkan sebutan semula pada 28 November.

Dia berdepan hukuman denda sehingga RM5,000 dan tidak lebih dua tahun penjara.

Siasatan awal pihak berkuasa mendedahkan pusat tahfiz itu sengaja dibakar dengan api yang dicucuh menggunakan petrol yang disimbah pada beberapa bahagian di luar bilik asrama di tingkat dua.

Kebakaran pada 14 September itu membunuh 21 pelajar dan dua guru warden asrama. Hampir semua mangsa ditemui dalam keadaan rentung terbakar.

Sementara itu, mahkamah hari ini dipenuhi wartawan dari dalam dan luar negara yang berhimpun untuk liputan kes ini seawal 8 pagi.

Beberapa ahli keluarga mangsa kebakaran pada 14 September lalu itu juga hadir.

Ahli perniagaan Sharifuddin Musa, yang juga bapa kepada seorang pelajar yang berjaya menyelamatkan diri berkata beliau hadir ke mahkamah untuk mendengar pertuduhan dibacakan. Anaknya melecur pada bahagian belakang dan masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

“Saya boleh maafkan tetapi sedih atas apa yang terjadi. Saya dan keluarga hanya boleh berharap mereka dikenakan hukuman yang setimpal,” katanya kepada wartawan.

Ibu kepada seorang korban kebakaran yang hanya mahu dikenali sebagai Hartini memberitahu The Malaysian Insight beliau hadir ke mahkamah untuk melihat sendiri wajah orang yang bertanggungjawab menyebabkan kematian anaknya, Nik Muhammad Ridzuan Nik Azlan, 12.

“Saya mahu lihat muka orang yang bertanggungjawab,” katanya.

“Saya mahu tahu apa pertuduhannya, siapa yang kena tuduh.”

Pengetua pusat tahfiz itu, Mohd Zahid Mahmood dipetik berkata beliau tidak akan hadir di mahkamah hari ini untuk melihat pendakwaan ke atas tertuduh yang membakar asrama pusat tahfiznya sehingga membunuh 21 pelajar dan dua gurunya.

“Apa saja keputusan dibuat mahkamah adalah paling sempurna di dunia manakala di akhirat lain perhitungan Allah,” kata Zahid. – 28 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen