PENDAKWAAN 40 lagi kes rasuah terhadap Ahmad Zahid Hamidi tidak menjejaskan pelan PAS untuk menjalin kerjasama politik dengan Umno, kata pemimpin kanan parti Islam itu.
Pemimpin Umno juga beranggapan kerjasama itu melampaui soal individu – bahawa ia bukannya tentang Zahid tetapi perpaduan Melayu dan Islam.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS akan meneruskan perbincangan dengan Umno untuk menyediakan draf piagam kerjasama yang dijangka boleh dimeterai pertengahan bulan depan.
“Ia (pendakwaan terhadap Zahid) tidak menjejaskan (kerjasama Pas dan Umno), bahkan kita tidak campur tangan urusan parti lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Bagaimanapun Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, cepat mengingatkan bahawa parti Islam itu tidak menyokong apa juga bentuk salah guna kuasa dan penyelewengan.
“Kita tidak menyokong kebatilan atau salah guna kuasa, rasuah dan lain-lain,” katanya.
Zahid semalam dikenakan tujuh lagi pertuduhan baharu melibatkan rasuah bernilai lebih S$4.24 juta (RM12.9 juta) yang dikaitkan dengan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat pengendali Sistem Visa Luar Negara (VLN).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata Zahid berdepan 33 lagi pertuduhan esok di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas keseluruhan suapan bernilai RM47 juta.
Selain kes yang dituduh semalam dan hari ini, Zahid juga sedang berdepan 47 pertuduhan atas jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram. Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan bermula 18 November ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Umno Perak Saarani Ahmad yakin kerjasama dengan PAS akan tetap kukuh walau Presiden Umno berdepan banyak kes mahkamah kerana ia dibuat demi perpaduan ummah.
Katanya, kerjasama itu bukan atas nama individu tetapi Melayu dan Islam.
“Tidak jejas apa-apa sebab yang bercantum bukan Zahid dengan (presiden PAS) Abdul Hadi Awang, tetapi antara PAS dengan Umno.
“Siapa pimpin parti maka dialah yang menunaikan piagam (kerjasama),” kata Adun Kota Tampan itu, yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan juga berkata kerjasama dua parti Melayu Islam itu tidak terjejas kerana yang hendak bekerjasama ialah parti, bukannya individu.
“Kita membincangkan mengenai hala tuju perjuangan kita. Ia tidak melibatkan kes-kes peribadi.
“Lagipun kes peribadi, individu itu tanggunglah. Kita tak sepatutnya satukan isu peribadi seseorang dengan institusi ataupun parti,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Sementara itu, seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno Jalaluddin Alias menganggap pendakwaan terbaharuu terhadap Zahid hanya helah kerajaan untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu-isu yang menjejaskan kerajaan.
“Ini perkara yang telah kita jangka. Kenapa hanya pemimpin parti pembangkang (dihadapkan ke mahkamah) tetapi kes-kes yang dilakukan pemimpin Pakatan tak disebut. Ini satu perkara tidak sihat oleh kerajaan.
“Pendakwaan ini satu hal lain dan tidak menjejaskan apa-apa kerjasama dengan PAS,” katanya.
Dalam pada itu Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata PAS konsisten berpegang bahawa seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya di mahkamah.
Katanya, itulah pendirian PAS sejak Anwar Ibrahim dihadapkan ke mahkamah pada 1998 sampailah kepada pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak.
“Kita tengoklah pengadilan di mahkamah. Jangan rakyat jadi hakim,” katanya.
Zahid kini bercuti sebagai presiden Umno setelah menyerahkan tugas kepada timbalannya Mohamad Hasan sejak 18 Disember lalu. – 27 Jun, 2019.
Komen