AHMAD Zahid Hamidi dikenakan tujuh lagi pertuduhan baharu hari ini melibatkan rasuah bernilai lebih S$4.24 juta (RM12.9 juta) yang dikaitkan dengan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat pengendali Sistem Visa Luar Negara (VLN).
Jenayah itu didakwa dilakukan di kediaman rasminya semasa jadi timbalan perdana menteri di Seri Setia, Putrajaya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.
Zahid, yang ketika itu juga menteri dalam negeri, didakwa menerima S$4.24 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd untuk melanjutkan kontrak mengurus pusat sehenti di China dan VLN.
Beliau yang juga presiden Umno mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Zahid didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa hukuman mengikut Seksyen 24(1) akta sama, iaitu penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah suapan.
Mahkamah kemudian membenarkan Zahid diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga akan didakwa sekali lagi esok di Mahkamah Sesyen Shah Alam, kata SPRM.
“Ini adalah sebahagian daripada keseluruhan salah laku… ada 33 pertuduhan melibatkan transaksi sama esok,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya.
Beliau yang ditemani timbalannya Azam Baki hadir di mahkamah untuk melihat proses pertuduhan terhadap Zahid hari ini.
“Kami hadir untuk menunjukkan bahawa ini perkara yang harus diambil serius, bahawa ini bukan hanya satu lagi kes rasuah.
“Ini kes melibatkan seorang yang memegang jawatan tinggi dan melibatkan jumlah besar,” katanya.
Latheefa menjelaskan jumlah suapan dalam kes hari ini dan esok mencecah sehingga RM47 juta.
Kes ini juga tiada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad, katanya.
Sementara itu, Zahid tidak bercakap wartawan sebelum dan selepas proses itu.
Zahid diwakili peguam Ahmad Zaidi Zainal, Kitson Foong, Hamidi Mohd Noh, Rosal Azimin dan Mohd Shahril Madisa. Kes dikendalikan timbalan pendakwa raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar dan Zander Lim Wai Keong.
Selain kes yang dituduh hari ini dan esok, Zahid juga sedang berdepan 47 pertuduhan atas jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram. Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan bermula 18 November ini.
Zahid kini bercuti sebagai presiden Umno setelah menyerahkan tugas kepada timbalannya Mohamad Hasan sejak 18 Disember lalu.
VLN adalah sistem permohonan visa dalam talian untuk warga asing masuk ke Malaysia. Pada 2016, Kementerian Dalam Negeri memberi hak eksklusif pengurusannya kepada sebuah syarikat bagi menguruskan pelancongan dari China.
Bagaimanapun, pelaksanaannya dibuat dengan tapisan yang sangat longgar sehingga menyebabkan ada pemohon yang lepas biarpun dengan identiti palsu, lapor media.
Media juga melaporkan syarikat berkenaan diberi hak mengutip fi RMB140 atau RM100 untuk setiap permohonan tanpa sedikitpun jadi hasil kerajaan. – 26 Jun, 2019.

Komen