LEMBAGA Pengarah FGV Holdings Bhd perlu menyelesaikan perbezaan pendapat dengan pemilik kepentingannya sehingga mereka mengundi menentang cadangan yuran pengarah, kata CEO Minority Shareholders Watch Group Devanesan Evanson.
Tiga pemilik kepentingan terbesar FGV iaitu Felda, Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menolak cadangan pakej yuran dan manfaat pengarah dalam Mesyuarat Tahunan yang berlangsung lima jam semalam.
Felda memegang 33.7% kepentingan dalam FGV, KPF (5.25%) dan LTAT 1.25%.
Devanesan memberitahu The Malaysian Insight yang Lembaga Pengarah FGV perlu berbincang tentang soal yuran dengan ketiga-tiga pemilik kepentingan terbesar itu.
Mesyuarat tergempar boleh diadakan selepas mendapat kelulusan pemegang kepentingan itu.
“Fakta yang Felda, selaku pemegang kepentingan terbesar FGV yang memegang 33.7% ekuiti, mengundi menentang adalah petunjuk jelas kegagalan komunikasi antara Felda dan FGV. Tidak pasti sama ada Felda sebelum itu pernah meluahkan ketidakpuasan hati terhadap pakej yuran kepada FGV.
“Peranan wakil Felda dalam Lembaga Pengarah FGV perlu disemak semula. Adakah wakil tidak memberikan amaran awal tentang ketidakpuasan hati Felda tentang cadangan yuran itu? Dan jika dia bagi amaran, adakah ia diabaikan oleh Lembaga Pengarah FGV dan bertindak tanpa menghiraukan pandangan itu?
“Kita tidak tahu jawapan kepada soalan ini. Tetapi, kegagalan komunikasi perlu ditangani.”
Devanesan berkata Lembaga Pengarah FGV sekarang mungkin tersalah fokus, lebih memberi perhatian kepada soal yuran berbanding usaha memulihkan syarikat sarat hutang itu.
Mesyuarat semalam asalnya diminta meluluskan yuran pengarah berjumlah lebih RM2.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.
Berdasarkan struktur yuran pengarah dalam notis panggilan mesyuarat kepada semua pemegang saham, pengerusi lembaga pengarah FGV bakal mendapat yuran RM600,000 setahun sementara pengarah bukan eksekutif menerima RM120,000 setahun.
Pemegang saham juga diminta meluluskan sebahagian yuran untuk pengarah bukan eksekutif berjumlah hampir RM1.18 juta untuk bayaran bagi tempoh mulai 26 Jun 2019 sehingga mesyuarat tahunan berikutnya pada tahun depan. – 26 Jun, 2019.
Komen