Felda tolak usul bayar yuran pengarah FGV


Felda ialah pemegang saham terbesar dalam FGV sebanyak 21.24%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Jun, 2019.

TIGA pemegang saham FGV Holdings Berhad, termasuk Felda, menolak usul membayar yuran kepada pengarah syarikat dalam mesyuarat agung tahunan syarikat itu hari ini, lapor Bernama.

Dua pemegang saham lain ialah Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Felda ialah pemegang saham terbesar dalam FGV sebanyak 21.24%, sementara KPF memegang 5.25% dan LTAT 7.78%.

Felda juga memegang saham secara tidak langsung melalui Felda Asset Holding Company Sdn Bhd iaitu sebanyak 12.42%.

“Ini merupakan satu detik bersejarah, malah ahli lembaga pengarah sedang membincangkan apa yang wajar dilakukan, termasuk meneliti semua pilihan bagi meleraikan isu itu.

“Apa yang kami utamakan adalah kepentingan syarikat. Kami mahu pastikan apa juga keputusan yang diambil tidak hanya mewakili kepentingan satu-satu pemegang saham sebaliknya kesemua pihak terbabit serta syarikat,” kata Pengerusi FGV, Azhar Abdul Hamid pada sidang akhbar selepas mesyuarat hari ini.

Mesyuarat agung tahunan hari ini diadakan bagi meminta pemegang saham FGV meluluskan yuran dan manfaat pengarah berjumlah berjuta-juta ringgit.

Kelulusan itu diperlukan di bawah undang-undang mengikut Seksyen 230(1) Akta Syarikat 2016.

Mesyuarat agung tahunan ini bagaimanapun diadakan dua bulan selepas Putrajaya mengesahkan perniagaan buruk syarikat itu antara punca Felda terbelit masalah kewangan.

Kertas Putih yang dibentangkan di Parlimen pada 10 April lalu antara lain merumuskan keputusan perniagaan buruk oleh dua syarikat milik Felda iaitu FGV dan Felda Investment Corporation (FIC) menyumbang kepada masalah kewangan agensi itu sekarang.

Melalui Kertas Putih itu, Putrajaya mengumumkan suntikan dana RM6.23 bilion kepada Felda secara berperingkat dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan mengikut keperluan.

Saham FGV hari ini ditutup pada RM1.15, jatuh 1 sen berbanding semalam.

Mesyuarat hari ini asalnya diminta meluluskan yuran pengarah berjumlah lebih RM2.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018. 

Berdasarkan struktur yuran pengarah dalam notis panggilan mesyuarat kepada semua pemegang saham, pengerusi lembaga pengarah FGV bakal mendapat yuran RM600,000 setahun sementara pengarah bukan eksekutif menerima RM120,000 setahun.

Pemegang saham juga diminta meluluskan sebahagian yuran untuk pengarah bukan eksekutif berjumlah hampir RM1.18 juta untuk bayaran bagi tempoh mulai 26 Jun 2019 sehingga mesyuarat tahunan berikutnya pada tahun depan.

Sekiranya usul itu diluluskan hari ini, Azhar Abdul Hamid bakal menerima yuran pengarah RM23,200 sebagai pengerusi FGV. Beliau juga bakal menerima RM20,000 sebagai pengerusi MSM Malaysia Holdings Berhad, anak syarikat FGV. Pengarah bukan eksekutif FGV yang lain akan dibayar RM5,000 sebulan.

FGV memegang 51% saham dalam syarikat utama gula negara itu, termasuk 40.03% melalui anak syarikatnya FGV Sugar Bhd. 

Azhar dilantik pengerusi FGV dan MSM Malaysia dalam masa selang lebih kurang dua minggu pada September 2017. Beliau menggantikan pengerusi sebelum ini, Isa Abdul Samad.

Dalam mesyuarat agung tahunannya hari ini, FGV juga meminta pertimbangan pemegang sahamnya untuk meluluskan elaun mesyuarat dan manfaat lain, sama seperti yang diberikan kepada pengarah syarikat sebelum ini dan diluluskan dalam mesyuarat tahunan sebelumnya. – 25 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen