Kes Zahid libatkan rasuah RM47 juta, kata SPRM


Bede Hong

Ahmad Zahid Hamidi akan didakwa sekali lagi esok dengan 33 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Jun, 2019.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi berdepan 40 lagi kes rasuah melibatkan keseluruhan suapan berjumlah RM47 juta, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata kes itu didakwa dilakukan oleh Zahid semasa beliau memegang jawatan tinggi dalam kerajaan sebelum ini.

Bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri dalam negeri itu hari ini dituduh dengan tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Beliau akan didakwa sekali lagi esok dengan 33 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

“Kami hadir (di mahkamah hari ini) untuk menunjukkan bahawa ini perkara yang harus diambil serius, bahawa ini bukan hanya satu lagi kes rasuah.

“Ini kes melibatkan seorang yang memegang jawatan tinggi dan melibatkan jumlah besar,” kata Latheefa kepada wartawan di luar mahkamah selepas proses pertuduhan terhadap Zahid selesai hari ini.

“Keseluruhan kes adalah sebanyak RM47 juta,” tambahnya.

Latheefa hadir bersama beberapa pegawai kanan agensi anti rasuah itu termasuk timbalannya, Azam Baki.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata kes itu didakwa dilakukan oleh Ahmad Zahid Hamidi semasa beliau memegang jawatan tinggi dalam kerajaan sebelum ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Jun, 2019.

Zahid didakwa berhubung kontrak kepada sebuah syarikat pengendali Sistem Visa Luar Negara (VLN), Ultra Kirana Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan jenayah itu di kediaman rasminya semasa jadi timbalan perdana menteri di Seri Setia, Putrajaya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.

Dalam tujuh pertuduhan hari ini, Zahid didakwa menerima S$4.24 juta (RM12.9 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd untuk melanjutkan kontrak mengurus pusat sehenti di China dan VLN.

Beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mahkamah kemudian membenarkan Zahid diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Diminta mengulas mengenai sistem visa dan Jabatan Imigresen yang terbabit dalam kes ini, Latheefa berkata sistem VLN adalah dasar kerajaan dan hanya kerajaan boleh tentukan kedudukannya.

Namun kes ini menunjukkan ada kelompongan yang menyebabkan berlaku rasuah, katanya.

“SPRM akan lakukan sesuatu tetapi apa pun kami akan serahkan ia kepada kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Azam berkata pihak SPRM akan menghantar laporan penuh kepada Kementerian Dalam Negeri yang akan menggariskan kelemahan sistem yang boleh diperbaiki.

Selain kes yang dituduh hari ini dan esok, Zahid juga sedang berdepan 47 pertuduhan atas jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram. Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan bermula 18 November ini.

Zahid kini bercuti sebagai presiden Umno setelah menyerahkan tugas kepada timbalannya Mohamad Hasan sejak 18 Disember lalu. – 26 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen