Inkues Adib panggil semula pakar forensik 


Alfian Z.M. Tahir

Prof Shahrom Abdul Wahid yang mempertikaikan keterangan saksi lain mengenai kecederaan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dipanggil semula memberi keterangan pada inkues. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2019.

MAHKAMAH Koroner akan memanggil semula pakar forensik Prof Shahrom Abdul Wahid yang mempertikaikan keterangan saksi lain mengenai kecederaan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia selepas kejadian rusuhan di sebuah kuil Hindu tahun lalu.

Perkara ini dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin kepada pemberita pada inkues bagi menentukan punca kematian Adib pagi tadi.

Shahrom sebelum ini berkata Adib diserang oleh lebih daripada seorang perusuh dan meninggal dunia akibat cedera dipukul semasa rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, 26 November tahun lalu.

Keterangan Shahrom itu bercanggah dengan keterangan dua saksi lain yang juga pakar forensik bahawa kematian Adib disebabkan oleh kecederaan akibat terjatuh daripada van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dinaikinya.

Shahrom merupakan bekas pakar forensik dan patologi kanan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 Jun, 2019.

Sementara itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melantik empat peguam baharu bagi mewakili kementerian dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Peguam yang dilantik adalah Suzana Atan, Mazlifah Ayob, Afiq Zainal Abidin and Fadzilatul Isma Ahmad Rafngah.

Pelantikan susulan Syazlin Mansor menarik diri sebagai peguam mewakili KPKT bulan lepas disebabkan konflik kepentingan kerana pada masa yang sama beliau juga mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat serta keluarga Adib.

Syazlin hadir di mahkamah hari ini, tetapi hanya sebagai peguam bagi keluarga Adib.

“Syazlin mewakili keluarga Adib. Pejabat Peguam Negara (AGC) tiada masalah dengan perkara itu. AGC hanya ada isu mengenai beliau mewakili kementerian dan Jabatan Bomba,” kata Faten. – 26 Jun, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen