BEBERAPA jam selepas ditegur secara terbuka oleh Sultan Johor, pemilik sebuah kedai dobi layan diri di Muar, Johor mendakwa dia mengehadkan perniagaannya “untuk orang Islam sahaja” atas permintaan daripada pelanggan tetapnya.
Beliau sebelum itu mengatakan keputusannya membuka perniagaan mesra orang Islam itu adalah bagi tujuan kebersihan, langkah perniagaan yang mendapat sokongan daripada beberapa tokoh agama negeri di Malaysia.
Pemilik kedai dobi Elit Laundry, yang enggan memberikan namanya, memberitahu The Malaysian Insight dalam satu wawancara melalui telefon malam tadi bahawa majoriti pelanggannya beragama Islam yang juga penduduk sekeliling kawasan sekitar kedainya.
“Ini permintaan pelanggan… daripada customer.
“Saya punya regular customer ramai yang Muslim, jadi mereka minta benda ini (khas untuk orang Islam). Itu saja,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut beliau perniagaannya tidak terjejas selepas kedai dobinya yang tular di media sosial mencetuskan kontroversi.
“Tak ada (apa-apa perubahan) sama saja.
“Saya dah ada pelanggan tetap, bermakna tak ada tambah, tak ada kurang… sama.”
Kedai dobi di Muar itu menjadi perhatian apabila foto di depan ruang premisnya tertera papan tanda “Untuk Pelanggan Beragama Islam Sahaja dan Kasut Sila Tinggalkan Di Luar.”
Tinjauan The Malaysian Insight semalam mendapati walaupun papan tanda itu telah dialihkan, namun pada mesin basuh di kedai dobi layan diri itu masih terlekat notis “Untuk Pelanggan Beragama Islam Sahaja”.
Menurut penduduk sekeliling yang pernah menggunakan perkhidmatan dobi itu, kedai dobi layan diri itu sudah beroperasi sejak lebih setahun dan papan tanda tersebut diletakkan hanya sekitar dua bulan lalu.
Dia semalam memohon maaf kepada Sultan Johor, rakyat Johor dan seluruh rakyat Malaysia yang tersinggung atas perbuatannya itu.
Sultan Ibrahim bertitah kejadian itu mengejutkan dan memberi kata dua kepada pemilik kedai dobi itu, hentikan perbuatan diskriminasi seperti itu atau kedainya ditutup.
Dia kemudian akur dengan titah Sultan Ibrahim agar papan tanda larangan terhadap pelanggan bukan Islam yang menimbulkan kontroversi itu dialih.
“Saya sudah patuh pada titah Tuanku. Saya memohon maaf pada Tuanku, rakyat Johor atas apa yang berlaku dan berharap kekecohan selama beberapa hari ini akan reda.
“Saya sudah tidak menggunakan papan tanda berkenaan,” katanya.
Pemilik kedai dobi itu sebelum ini dipetik dalam laporan media lain ketika kontroversi ini mula tersebar sebagai mendakwa beliau hanya menjalankan tugas sebagai seorang Islam, memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggannya suci.
Beberapa pemimpin agama negeri sebelum ini juga dilaporkan menyokong tindakan perniagaan kedai dobi itu dan berharap “mudah-mudahan ia berjaya dan tidak jadi sesuatu yang iri hati kepada pihak lain.”
Pengguna media sosial, bagaimanapun, termasuk adik perdana menteri, Nazir Razak, menyokong ketegasan Sultan Johor menyelar pemilik kedai dobi itu dan kesal atas apa yang dilihat sebagai terhakisnya nilai-nilai kesederhanaan Islam.
Nazir membuat komentar di akaun Instagramnya memuji Sultan Ibrahim kerana suaranya yang “tegas dan jelas” menentang perbuatan yang melampau.
“Inilah kepimpinan. Hubungan sosial pelbagai kaum di negara sedang terancam, jadi sangat lega mendengar suara Tuanku Sultan yang tegas dan jelas,” kata Nazir.
“Tiada dolak-dalik, tiada politik.”
Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang sebelum ini turut mengkritik kedai dobi untuk Islam itu juga memberi komen atas titah Sultan Ibrahim dengan menulis pendek: “Kita perlu menjadi sederhana dan progresif…”. – 28 September, 2017.
Komen