Anwar akan jumpa Dr Mahathir tentang '3 tahun jadi PM'


Bede Hong

Tidak ada masalah tentang peralihan setakat ini, tetapi saya akan berjumpa Dr Mahathir Mohamad petang ini, kata Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Jun, 2019.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim berkata beliau akan berjumpa Dr Mahathir Mohamad petang ini untuk bertanyakan tentang komen perdana menteri itu bahawa beliau tidak akan berkhidmat lebih tiga tahun.

“Saya akan berjumpa perdana menteri nanti. Saya sudah tentu akan minta penjelasan daripadanya.

“Tetapi, sebenarnya tidak akan ada masalah setakat ini tentang peralihan. Perdana Menteri Dr Mahathir dan saya akan terus berjumpa setiap minggu dan peralihan tidak jadi isu,” katanya kepada wartawan di Putrajaya hari ini.

Anwar menjelaskan tarikh tepat peralihan itu belum ditetapkan lagi.

“Siapapun yang menerajui negara perlu diberikan ruang untuknya mentadbir secara berkesan, tanpa diganggu oleh tarikh peralihan. Saya faham perkara itu. Saya berpuas hati,” katanya.

Ditanya perasaannya tentang Dr Mahathir berkuasa selama tiga tahun, Anwar berkata: “Itu hanya andaian.”

Persoalan tentang peralihan kuasa itu wujud selepas pagi tadi Dr Mahathir dipetik berkata oleh CNBC yang beliau tidak akan mentadbir lebih tiga tahun sebagai perdana menteri.

Difahamkan sebelum ini, persetujuan adalah untuk Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri selepas dua tahun.

“Sepanjang pengetahuan saya, saya sudah berjanji akan letak jawatan dan Anwar akan gantikan saya.

“Tidak, saya tidak akan (jadi perdana menteri) lebih dari tiga tahun,” kata Dr Mahathir di Bangkok dipetik laporan CNBC itu.

Ditanya sama ada Anwar bersedia memegang jawatan penting itu, Dr Mahathir berkata: “Ia bukan persoalan sama ada beliau bersedia atau tidak. Saya sudah berjanji dan saya akan tunaikan.”

Anwar pula mengulas kenyataan Dr Mahathir itu berkata: “Saya tak ragu-ragu dengan keputusan peralihan itu. Beliau tulen dan jujur.

“Setahu saya, ini adalah perjanjian muktama,” katanya. – 24 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen