Dr Mahathir jamin jadi PM tak lebih 3 tahun


Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan akan menjadi perdana menteri tidak lebih tiga tahun dan akan menyerahkan jawatan itu kepada penggantinya Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Jun, 2019.

DR Mahathir Mohamad memberi jaminan untuk menjadi perdana menteri tidak lebih dari “tiga tahun” dan akan menyerahkan jawatan itu kepada penggantinya Anwar Ibrahim, lapor CNBC.

Beliau menjawab spekulasi mengenai tempoh jawatan dan peralihan kuasa tersebut yang kini kembali hangat diperkatakan.

“Sepanjang pengetahuan saya, saya sudah berjanji akan letak jawatan dan Anwar akan gantikan saya,” katanya di Bangkok seperti dipetik dalam laporan rangkaian televisyen tersebut.

“Tidak, saya tidak akan (jadi perdana menteri) lebih dari tiga tahun,” katanya lagi.

Dr Mahathir ditanya sama ada beliau akan kekal menjadi perdana menteri untuk mengurangkan hutang ditanggung negara dari kadar 80% kepada 54% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Beliau diwawancara rangkaian televisyen itu sewaktu menyertai Sidang Kemuncak Asean di negara gajah putih itu.

Anwar juga semalam berkata peralihan kuasa itu sudahpun muktamad dan yakin dengan pelan peralihan kuasa tersebut.

“Saya tak ragu-ragu dengan keputusan peralihan itu. Beliau tulen dan jujur.

“Setahu saya, ini adalah perjanjian muktamad,” katanya yang menambah persoalan itu hanya akan menimbulkan ketegangan di antara beliau dan Dr Mahathir sekiranya terus dibangkitkan. – 24 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen