MALAYSIA akan menjadi sebuah negara yang rakyatnya terikat dengan agama dan ekonomi mengikut “konsep dosa dan pahala” dalam Islam.
Dalam Malaysia seperti itu, soal integriti tidak akan sepenting kepercayaan seseorang dan seorang Islam yang korup masih dianggap lebih baik berbanding orang bukan Islam yang bersih daripada rasuah.
Ini adalah antara aspek baru Malaysia yang akan dibina oleh pakatan Umno-PAS yang mahu mengambil alih Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ia adalah Malaysia yang menukar asas Ketuanan Melayu menjadi Ketuanan Muslim, kata Felo Kanan Institut Kajian Asia Tenggara Jeffrey Cheah, Universiti Sunway, Dr Wong Chin Huat.
Ini adalah visi negara yang bertentangan dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan penafsirannya terhadap Islam.
Kerjasama antara Umno-PAS dibahaskan sepanjang minggu lalu di Muktamar Tahunan PAS ke-65 dan ahli PAS memberi lampu hijau kepada parti Islam itu untuk membentuk pakatan rasmi dengan Umno.
Penganalisis berkata, PAS akan memacu cita-cita yang menjadi asas pembentukan Malaysia seperti itu, bukannya Umno.
Cita-cita itu dijelaskan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada muktamar itu.
Kata penganalisis, kebanyakan pengundi merasakan Umno sudah hilang kredibiliti kerana skandal rasuah yang melibatkan pemimpinnya dan banyak pendedahan mengenai tindakan parti itu merosakan institusi negara.
“Bagi Umno, pelan ini (pakatan) menjadi harapan untuk memulihkan krisis keyakinan dalam parti dengan mengharapkan imej Islam PAS,” kata penganalisis dari Ilham Centre, Mohd Azlan Zainal.
“Sedangkan bagi PAS, ia adalah satu peluang untuk mengumpul dan meraih sokongan Melayu dengan menggunakan rangkaian akar umbi Umno yang luas. Ia adalah gabungan untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.”

Pensyarah bidang sains politik Profesor James Chin berkata Malaysia akan menjadi sebuah negara aparteid agama iaitu rakyatnya berpecah lebih teruk berbanding sebelum ini jika pakatan Umno-PAS berjaya menawan Putrajaya.
“Malaysia akan menjadi sebuah negara Islam pertama yang mempunyai karakter perkauman. Secara politiknya, ia akan mengehadkan ruang untuk bukan Islam dalam sistem itu,” kata Chin daripada Universiti Tasmania. – 24 Jun, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen