Tidak perlu soal Azmin isu klip video, kata Anwar


Alfian Z.M. Tahir

Anwar Ibrahim mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis kepimpinan pusat PKR di Petaling Jaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Jun, 2019.

PKR tidak akan menyoal Mohamed Azmin Ali berhubung isu penularan klip video gay yang dipercayai mirip beliau dan ahli PKR Sarawak Mohamad Haziq Abdul Aziz. 

Presiden parti Anwar Ibrahim berkata tidak sesuai untuk memanggil timbalan timbalan presiden PRK itu buat masa ini.

“Tidak adil jika memanggil dan menyoal beliau pada waktu yang sukar ini.”

“Pendirian kita jelas. Kita menolak politik jijik dan tiada keperluan untuk memanggilnya. 

“Isu beliau tidak hadir mesyuarat parti adalah isu berbeza,” kata Anwar selepas mempengerusikan mesyuarat majlis kepimpinan pusat parti hari ini.

Ditanya mengenai cabaran Haziq terhadap Azmin supaya menyamannya, Anwar berkata bukan kedudukannya untuk mengulas perkara itu.

“Terserah pada beliau (Azmin) untuk menjawab. Beliau saja berhak untuk menjawab,” katanya.

Haziq mencabar Azmin untuk mengambil tindakan undang-undang jika Ahli Parlimen Gombak itu yakin beliau tidak bersalah.

Ketua AMK Santubong itu turut mencabar timbalan presiden PKR itu membuat laporan polis terhadapnya.

Haziq mencetuskan kontroversi apabila mendakwa beliau adalah salah seorang  lelaki dalam video gay yang tular dua minggu lalu.

Beliau turut mendakwa pasangan gaynya itu adalah Azmin.

Haziq berkata Azmin tidak pernah membuat laporan polis terhadapnya tetapi hanya setiausaha politiknya, Muhammad Hilman Idham yang berbuat demikian.

Peguam Azmin, N Surendran berkata, mereka tidak akan bertindak balas terhadap ejekan oleh Haziq berhubung tindakan undang-undang yang mungkin diambil atau tidak diambil terhadap pemuda 27 tahun berkenaan. 

N Surendran menerusi laman Twitternya berkata, mereka tidak akan bertindak atau memberi respons terhadap ejeken “menarik perhatian” itu. 

“Semua maklum balas undang-undang dilakukan seperti yang sepatutnya, mengikut jadual kami dan tidak didesak oleh orang lain,” tulisnya.  – 23 Jun, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen