Umno dan PAS yakin ambil alih Putrajaya pada PRU15


Sheridan Mahavera Mohd Farhan Darwis

Sebahagian kekalahan di kerusi majoriti Melayu disebabkan pertembungan ramai calon antara Umno, PAS dan PH yang memecahkan undi Melayu sehingga akhirnya PH menang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2019.

PAS dan Umno yakin pakatan mereka dapat menjamin sekurang-kurangnya 109 kerusi Parlimen berdasarkan prestasi mereka dalam dua pilihan raya umum sebelum ini, kata sumber parti itu.

Dengan bantuan sekutu politik di Sabah dan Sarawak, ia boleh meraih sekurang-kurangnya dua hingga tiga lagi kerusi persekutuan supaya gabungan pembangkang dapat menjadi kerajaan bermajoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keyakinan mereka untuk mencapai sasaran ini adalah disebabkan faktor pendorong utama di sebalik gerakan untuk menjalin kerjasama formal antara kedua-dua parti. PAS pada muktamar tahunannya semalam meluluskan gabungan kerjasama antara kedua-dua parti itu.

Analisis ini berdasarkan beberapa perkiraan di bawah:

* Umno kehilangan 34 kerusi Parlimen pada PRU14 dari 88 kerusi yang dimenanginya pada PRU13. PAS pula hanya berjaya memperolehi 18 kerusi selepas berjaya memperoleh 21 kerusi pada PRU13.

* Jika kedua-dua pihak boleh menebus kerugian ini dan mendapat semula kerusi-kerusi dengan pembahagian kerusi sesama mereka, mereka akan mempunyai 109 kerusi.

* Dengan bantuan Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang memegang 19 kerusi parlimen, ia sudah mencukupi untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Pakar strategi dalam PAS dan Umno percaya kemenangan di kerusi-kerusi ini boleh diraih disebabkan wujud ketidakpuasan hati terhadap Pakatan Harapan dari kalangan orang Melayu yang mengundi parti pemerintah dalam PRU14.

Undi protes daripada orang Melayu di kerusi-kerusi yang dikuasai Umno sebelum ini menyebabkan parti nasionalis Melayu itu kehilangan banyak kawasan pilihan raya dalam PRU14. Perkara yang sama juga turut berlaku terhadap PAS dan ini akan memberi PAS peluang untuk memenangi 21 kerusi itu semula.

Sebahagian daripada kekalahan di kerusi majoriti Melayu ini adalah disebabkan pertembungan ramai calon antara Umno, PAS dan Pakatan Harapan yang memecahkan undi Melayu sehingga akhirnya membolehkan Pakatan mengecap kemenangan.

PAS dan Umno yakin pakatan mereka menjamin sekurang-kurangnya 109 kerusi Parlimen berdasarkan prestasi mereka dalam dua pilihan raya umum sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2019.

Hal ini berlaku di kerusi Pokok Sena, Kulim-Bandar Bharu, Padang Serai, Balik Pulau, Parit Buntar, Tambun, Lumut dan Sungai Besar.

Dengan memastikan pertandingan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan, PAS dan Umno mungkin akan dapat mengumpulkan undi mereka secara kolektif bagi mendapatkan semula kerusi-kerusi yang mereka kalah dalam pilihan raya sebelum ini.

Kajian bulan Ogos di kalangan pengundi Melayu oleh Ilham Centre mendapati bahawa 11% responden mengatakan mereka akan mengubah undi mereka ketika PRU14 jika dibenarkan berbuat demikian.

Pengarah eksekutif badan pemikir itu, Azlan Zainal berkata, perubahan 11% ini sangat penting kerana ia sebelum ini membolehkan Pakatan mengalahkan Umno dan Barisan Nasional dalam PRU14. Jika 11% ini kembali semula kepada Umno, Pakatan akan kehilangan kuasa di Putrajaya.

Dalam kaji selidik lain yang diterbitkan pada bulan Januari, Ilham Centre mendapati hampir 60% orang Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan Pakatan Harapan.

Umno dan PAS kini bertaruh dengan menjalankan kempen menjelaskan kegagalan Pakatan dalam melindungi institusi Melayu dan Islam dan ia diharapkan dapat mendorong orang Melayu kembali kepada kedua-dua parti itu.

“Kami percaya jika kita boleh mendapatkan sokongan besar di Semenanjung, parti-parti Sabah dan Sarawak akan menyertai kami,” kata sumber yang mengetahui perancangan tersebut.

Parti yang membentuk GPS adalah sebahagian daripada sekutu BN yang dipimpin Umno. Gabungan ini dipercayai akan menyokong satu lagi gabungan yang diketuai Umno bagi merebut Putrajaya. – 23 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen