LEBIH seminggu sejak video seks melibatkan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tular, ahli Pakatan Harapan mengikuti isu skandal secara senyap kerana takut memecahbelahkan parti.
Seorang ahli Parlimen DAP yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, parti “hanya memantau keadaan” sehingga ada keputusan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai kebenaran video seks berkenaan.
“Tiada siapa tahu sama ada video itu sahih atau tidak dan tidak adil untuk menyalahkan kes itu,” katanya.
Satu siri video dan gambar dikatakan sebagai Azmin dikeluarkan pada 12 dan 13 Jun menunjukkan dua lelaki di atas katil di sebuah hotel di Sandakan semasa pilihan raya kecil pada Mei.
Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku sebagai salah seorang pelaku dalam video itu dan turut mendakwa seorang lagi individu adalah Azmin.
Azmin bagaimanapun menafikan terlibat dalam hubungan dengan lelaki berusia 27 tahun itu.
Berdasarkan penularan video itu juga Haziq mendakwa dia diugut oleh setiausaha politik Azmin, Hilman Idham untuk menafikan penglibatan menteri berkenaan dalam video seks yang tersebar.
Walaupun pihak berkuasa belum lagi mengesahkan kesahihan video berkenaan, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memilih untuk memihak kepada Azmin.
Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata, Azmin masih dalam kabinet kerana perdana menteri fikir ia belum terbukti.
“Ini menunjukkan perdana menteri masih mempercayainya buat masa ini.
“Semua bergantung kepada sama ada video itu benar atau tidak,” katanya.

Perpecahan PKR
Malah sebelum kebenaran video belum disahkan, PKR sudah berpecah antara presiden Anwar Ibrahim dengan bekas protegenya Azmin.
Tidak lama selepas video itu tersebar, seorang bekas setiausaha media Anwar Eekmal Ahmad menulis di Facebook: “Sangat jelas siapa yang berada di belakang konspirasi untuk menyerang Azmin Ali”.
Berserta catatan tersebut adalah gambar Anwar dan Haziq dalam gambar berkumpulan selepas menonton “Avengers: End Game” di Gardens Mall di Kuala Lumpur pada 4 Mei lalu.
Eekmal, yang menyertai Azmin ketika beliau menjadi menteri besar Selangor bagaimanapun sudah memadamkan gambar dan catatan itu.
“Tanda PKR berpecah sangat jelas. Penyokong Azmin semakin banyak memberikan tekanan kepada Anwar untuk mengeluarkan pendirian jelas menyokong Azmin dan mengambil tindakan kepada Haziq,” kata Tunku Mohar.
“Naratif sekarang adalah keengganan pihak Anwar untuk bertindak adalah kerana mereka dalangnya, dan akan mendapat manfaat daripada skandal ini.
“Perpecahan mungkin (berlaku) sebab kumpulan Azmin membentuk majoriti dalam kepimpinan parti,” katanya.
Pensyarah sains politik Universiti Utara Malaysia Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata “hanya masa akan menentukan” perpecahan parti.
Bagaimanapun, katanya perpecahan itu tidak akan memberi ancaman besar kepada kerajaan Pakatan Harapan.
“Walaupun mereka berpecah, wakil rakyat itu masih di bawah payung Pakatan (PH).”
Seorang sumber Amanah pula yakin isu itu tidak akan menjejaskan PH secara keseluruhannya.
“Kedua-dua Anwar dan Azmin ada penyokong mereka dan buruk untuk parti jika sengketa berterusan. Tetapi, masih tidak jelas ke mana penyokong ini akan pergi jika parti berpecah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Seorang lagi wakil rakyat DAP pula memberitahu The Malaysian Insight yang kumpulan Anwar perlu berusaha keras untuk menumpaskan Anwar.
“Lagipun dia masih presiden. Dan bila kesetiaan jadi soal, situasi mungkin berubah,” kata wakil rakyat penggal pertama itu. – 22 Jun, 2019.
Komen