MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali tidak perlu ambil cuti kerana tiada bukti beliau terbabit dalam salah laku, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Sekiranya seseorang disiasat kerana salah laku atau jenayah, mereka boleh ambil cuti. Tetapi ini perkara politik.
“Sebenarnya, ia bertujuan untuk memalukan beliau dan untuk mendesak beliau supaya bercuti. Saya tidak suka maklumat politik ini,” katanya pada majlis sambutan Hari Raya di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya hari ini.
Dr Mahathir berkata polis masih menyiasat video seks berkenaan namun masih belum maklumkan kepadanya berhubung perkembangan siasatan.
Beliau juga enggan terbabit dalam masalah dalaman PKR berhubung video seks yang melibatkan Azmin.
“Polis akan buat keputusan. Saya tidak boleh buat keputusan itu,” kata pemimpin berusia 93 tahun itu selepas ditanya adakah beliau akan campur tangan berhubung situasi dalaman PKR.
Sementara itu, Dr Mahathir turut menolak gesaan pemimpin Bersatu untuk menggantikan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
“Mereka boleh membuat cadangan, sama ada saya terima, itu perkara lain,” katanya.
Bendahari Bersatu Selangor Mohd Shaid Rosli sebelum ini mencadangkan Dr Wan Azizah menyerahkan jawatannya bagi memberi laluan kepada Anwar.
Dr Wan Azizah berkata beliau akan berpegang kepada perjanjian Pakatan Harapan untuk Anwar menjadi perdana menteri selepas dua tahun. – 20 Jun, 2019
Komen