Penulis minta lebih RM400,000 untuk tidak siar buku, dakwa Anwar


Diyana Ibrahim

Anwar Ibrahim berkata polis perlu menyiasat penulis tersebut susulan aduan yang dibuat seorang pemimpin kanan parti tersebut berhubung ugutan berkenaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 19 Jun, 2019.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim mendakwa seorang penulis mengugut untuk menyiarkan sebuah buku yang memburuk-burukkannya sekiranya tidak mendapat bayaran sebanyak lebih RM400,000.

Dakwanya, penulis bernama Yahaya Ismail itu mengugut akan mengedarkan buku bertajuk ‘Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri’ sekiranya tidak berbuat demikian.

Katanya, polis perlu menyiasat penulis tersebut susulan aduan yang dibuat seorang pemimpin kanan parti tersebut berhubung ugutan berkenaan.

“Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul sudah buat laporan jadi memang ada penulis picisan dibayar diupah dan meminta dibayar lebih RM400,000 .

“Kalau tak mahu bayar maka hendak (siarkan) buku tersebut, jadi polis perlu siasat penulis,” katanya kepada pemberita di Petaling Jaya hari ini.

Terdahulu Johari pada petang ini mendedahkan beliau menerima manuskrip buku tersebut sejak 10 Jun lalu.

Katanya, penulis itu menghubungi beliau dan meminta untuk mengatur pertemuan dengan Anwar.

Johari mendakwa penulis itu berkata telah ditawarkan RM400,000 dan meminta Anwar membayar dengan harga tinggi jika tidak mahu disebarkan.

Manuskrip buku berkenaan antara lain mempromosi Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sebagai individu yang lebih layak menjadi perdana menteri berbanding Anwar, kata Johari. 

Beliau membuat laporan polis berkenaan manuskrip tersebut sejurus selesai sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini. – 19 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen