Ada pihak mahu promosi Azmin jadi PM, dakwa Johari Abdul


SM Amin

Ahli Parlimen Sungai Petani itu menunjukkan halaman buku berjudul 'Azmin Ali Bakal PM' kepafa pemberita dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Jun, 2019.

PEMIMPIN kanan PKR Johari Abdul mendakwa terdapat pihak tertentu cuba memburuk-burukkan presiden parti itu, Anwar Ibrahim melalui satu buku yang bakal diterbitkan kelak.

Dakwanya, satu manuskrip buku yang diperolehinya itu juga memfitnah Anwar terlibat dengan homoseksualiti, rasuah dan menjadi ejen Israel dan Amerika Syarikat.

Pada masa sama, manuskrip dengan tajuk ‘Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM’ itu juga mempromosi timbalan Anwar, Azmin Ali sebagai calon perdana menteri baharu, dakwanya.

“Dalam bab 15 manuskrip buku ini, penulis mempromosikan seorang pemipin yang beliau fikirkan layak untuk diangkat menjadi perdana menteri,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu menunjukkan halaman buku berjudul ‘Azmin Ali Bakal PM’ kepafa pemberita dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

“Tindakan penulis menjulang pemimpin tersebut dalam pada masa yang sama memfitnah Anwar adalah tindakan yang amat tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip kebebasan memberi pandangan,” katanya.

Selain itu manuskrip tersebut turut mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan penuh untuk membolehkan Anwar kembali menjadi ahli Parlimen, dakwanya.

“Tindakan penulis ini bukan sahaja mempertikaikan, malah memperlekehkan institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.

Naskhah yang dikirim kepadanya oleh penulis buku tersebut diterima pada 10 Jun lalu yang diperolehi daripada seorang individu bernama Yahaya Ismail.

Johari turut menambah beliau akan membuat laporan polis tidak lama lagi atas kandungan manuskrip tersebut.

Pendedahan mengenai manuskrip itu muncul sewaktu Azmin bergelut dengan tuduhan skandal seks yang disifatkan oleh timbalan presiden PKR itu sebagai usaha untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Tuduhan itu bermula minggu lalu melalui penyebaran beberapa rakaman video seks melalui WhatsApp.

Seorang pemimpin Pemuda PKR Sarawak, Haziq Abdul Aziz tampil dengan pengakuan sebagai pelaku dalam rakaman video seks tersebut dan mendakwa melakukannya dengan Azmin.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan. – 19 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen