Serangan pada Azmin boleh buat PKR pecah-belah, kata pemimpin parti


Nabihah Hamid

PARA pemimpin PKR memberi amaran, tuduhan skandal seks terbaharu yang mensasarkan Timbalan Presiden Azmin Ali berpotensi menyebabkan parti berpecah-belah.

Mereka menyifatkan tuduhan tersebut sebagai “kotor dan jijik”, seterusnya menggesa ahli parti bertenang dan tidak terpedaya dengan serangan tersebut.

Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar berkata memberitahu The Malaysian Insight, ahli perlu kekal bertenang dan tidak mensia-siakan perjuangan reformasi sejak 20 tahun lalu

“Ini satu ujian untuk kita kerana musuh-musuh kita di luar hendak pecahkan keharmonian dalam parti dan kerajaan.

“Jadi buat masa sekarang, saya minta semua ahli bersama-sama presiden dan parti untuk bersatu dan kukuhkan parti,” katanya.

Keretakan dalam parti itu semakin jelas apabila Azmin yakin dalang video seks disasarkan kepadanya didalangi orang PKR sendiri.

Selain itu, ada juga kumpulan dalam parti yang secara terang-terangan menuduh penyebaran video berpunca daripada pihak tertentu dalam parti khususnya penyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Ahli parti berpendapat, keretakan yang timbul ekoran tuduhan video seks adalah lanjutan daripada pertembungan di antara kem Azmin dan lawannya dalam pemilihan parti tahun lepas, Rafizi Ramli.

Mereka bimbang parti itu akan terjejas dalam kerajaan selain tidak fokus dengan isu pentadbiran negara. 

Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar berkata memberitahu The Malaysian Insight, ahli perlu kekal bertenang dan tidak mensia-siakan perjuangan reformasi sejak 20 tahun lalu.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2019.

Mengulas perkara itu, Xavier yang juga menteri Kabinet menyeru semua pemimpin untuk memberi fokus kepada isu negara dan berkhidmat untuk rakyat.

“Sekarang kita dalam kedudukan di mana kita boleh gunakan kuasa kita untuk menentukan sama ada Reformasi yang kita perjuangkan boleh jadi realiti.

“Saya selalu kata dalam mesyuarat, sudahlah sudahlah (berpuak dalam kem) selepas pemilihan parti (selesai). Sekarang kita semua satu parti, satu keluarga dan perlu bekerja bersama-sama,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden Tian Chua berkata semua ahli perlu tabah mengharungi ujian serangan politik tersebut dan memberi fokus sepenuhnya kepada pentadbiran negara.

“PKR adalah parti yang telah melalui pelbagai ujian, kita telah menghadapi pelbagai cabaran, kerana itu kita jangan gelabah sehingga hancurkan parti kita,” katanya.

Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar pula berkata, beliau akan berusaha memberi penjelasan kepada akar umbi bagi memastikan skandal terbaru ini tidak mewujudkan perpecahan.

“Saya dan pimpinan utama akan turun dan beri penjelasan terutamanya (bahawa) kita menolak politik kotor dan jijik.

“Kita menjelaskan bahawa dalam keadaan sekarang tidak perlu mana-mana pimpinan mengeruhkan lagi keadaan,”katanya. 

Naib Presiden PKR Tian Chua berkata ahli perlu bertenang dan tidak melupakan perjuangan 20 tahun parti itu melawan politik kotor dan jijik melibatkan Presiden Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2019.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin juga meminta akar umbi bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menyiasat fitnah terbabit.

“Akar umbi harus bertindak lebih rasional, bertenang dan menunggu laporan daripada polis dan penyiasat dan yang lebih penting sekali keutuhan dan perpaduan parti harus dipertahankan.

“Kita harus menolak sesiapa saja yang memilih untuk melakukan politik kotor seperti ini.”

Tambahnya, ahli tidak boleh melupakan perjuangan parti selama 20 tahun menentang fitnah serupa ke atas Anwar sebelum ini.

“Jadi jangan kita terjerumus kembali kepada apa yang kita telah lawan selama ini,” kata Adun Seberang Jaya itu lagi.

Kedudukan PKR dalam Pakatan Harapan diterajui Dr Mahathir Mohamad kini dibimbangi terjejas dengan pelbagai skandal, terbaru melibatkan pemimpin kanannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2019.

Serangan ke atas Azmin itu mula dilancarkan pada Selasa minggu lalu melalui penyebaran tiga rakaman video seks.

Pada keesokan harinya, Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Aziz tampil dengan dakwaan bahawa beliau dan Azmin adalah pelaku video tersebut.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan dan menyifatkannya sebagai usaha untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Rakaman berkenaan kini disiasat pusat pakar keselamatan Internet, CyberSecurity Malaysia dan polis turut memanggil Haziq, Azmin dan pemimpin PKR lain untuk siasatan. – 19 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen