POLIS menerima 17 laporan berhubung klip video seks yang didakwa melibatkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz, kata Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor.
Mazlan bagaimanapun enggan mendedahkan butiran siasatan kes berkenaan.
“Kita masih menyiasat perkara ini. Sebanyak 17 laporan polis telah dibuat. Saya tidak boleh dedahkan berapa banyak kenyataan yang telah direkodkan. Terdapat beberapa laporan,” katanya.
Ditanya sama ada polis telah memanggil Azmin, Mazlan berkata: “Ia sedang dilakukan.”
Semalam media melaporkan, polis akan memanggil Azmin ke Bukit Aman untuk keterangannya direkod.
The Malaysian Insight telah menghubungi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed untuk mengulas berhubung perkara itu.
Mazlan kemudian ditekan untuk menjelaskan kesahihan klip seks itu.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kesahihan klip video berkenaan dan mengatakan ia sedang diuji oleh pasukan forensik.
“Saya sudah katakan saya tidak akan jelaskan lagi mengenainya. Biar kita siasat dahulu.
“Kita sedang menunggu laporan forensik dan setakat ini tiada tempoh masa untuknya,” kata Mazlan. – 17 Jun, 2019
Berita penuh di sini.
Komen