PAS menggesa Mahkamah Syariah Sabah mengambil tindakan ke atas Haziq Abdullah Abdul Aziz yang hari ini mengaku melakukan hubungan homoseks bersama seorang menteri.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tindakan perlu diambil memandangkan perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah hotel di Sandakan, Sabah.
Dalam kenyataan video yang dimuat naik ke akaun Facebooknya awal pagi tadi, Haziq mengaku bahawa beliau adalah lelaki yang dirakam melakukan hubungan seks bersama seorang menteri, dalam tiga klip video yang tersebar sejak semalam.
Haziq ialah setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Menerusi rakaman kenyataan video sepanjang 35 saat yang dimuat naik pada pukul 2.32 pagi tadi, Haziq berkata video seks tersebut dirakam tanpa kebenarannya. Tambah beliau, ia dirakam di Hotel Four Points pada 11 Mei semasa Pilihan Raya Kecil Sandakan.
“PAS menggesa Mahkamah Syariah Sabah perlu menghukum individu tersebut atas pengakuan beliau,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Tuan Ibrahim turut menggesa ahli PAS supaya tidak menyebarkan video seks tersebut.
“Sebagai seorang Muslim sikap kita tetap konsisten dengan apa yang syarak pandu, agar tidak membuat tuduhan (qazaf) melainkan kita melihatnya.
“PAS menggesa agar seluruh kepimpinan dan ahli menumpukan kepada perkara yang memberi manfaat kepada ummah.
“PAS perlu tampil menjadi agen yang membantu bukan menghabiskan masa dan tenaga kepada perkara yang tidak bermanfaat,” tambah beliau. – 12 Jun, 2019.
Komen