Lelaki mengaku pelaku video seks bersama menteri


Haziq Abdullah Abdul Aziz dalam satu video mengaku beliau lelaki yang melakukan hubungan seks bersama seorang menteri, dan mendakwa video itu dirakamkan di bilik hotel di Sandakan pada 11 Mei. – Gambar Facebook, 12 Jun, 2019.

SETIAUSAHA sulit kanan seorang timbalan menteri mengaku beliaulah lelaki yang dirakam melakukan hubungan seks bersama seorang menteri, dalam tiga klip video yang tersebar sejak semalam.

Dalam satu pengakuan melalui video, Haziq Abdullah Abdul Aziz mendakwa video berkenaan dirakamkan di sebuah bilik hotel di Sandakan, Sabah semasa kempen pilihan raya kecil kawasan itu pada 11 Mei lalu.

Saya Haziq Aziz. Saya dengan ini membuat pengakuan bersumpah bahawa sayalah individu bersama (menteri berkenaan) dalam video yang telah viral semalam.

“Video itu telah diambil tanpa kebenaran saya,” katanya dalam kenyataan video yang dimuat naik ke akaun Facebooknya awal pagi ini.

Beliau juga menggesa agensi anti rasuah menyiasat menteri itu yang disifatkannya “tidak layak memimpin”.

“Saya menggesa SPRM untuk menyiasat (menteri itu) atas tuduhan korupsi.

“Dia bukanlah individu yang layak menjadi seorang pemimpin,” katanya.

Rakaman kenyataan video sepanjang 35 saat itu dimuat pada 2.32 pagi tadi.

Haziq ialah setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Shamsul Iskandar juga merupakan ketua penerangan PKR dan ketua Cabang PKR Jasin.

Haziq pernah menjadi pemimpin mahasiswa, termasuk mengasaskan dan memimpin Mahasiswa Keadilan Malaysia, sayap mahasiswa PKR. Beliau juga pernah memimpin Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen dan Solidariti Mahasiswa Malaysia semasa belajar di Universiti Malaya.

Awal pagi semalam, tiga klip video dan foto rakaman aksi intim dua lelaki mula tersebar melalui beberapa kumpulan sembang di WhatsApp yang dibuat atas nama “jemputan jamuan raya”.

Klip video itu disebarkan selepas kumpulan sembang itu menjemput beberapa wartawan dari hampir semua media menyertainya.

Individu tidak dikenali yang mengendalikan kumpulan sembang itu turut menyebarkan dua dokumen urus niaga perbankan bernilai ratusan juta dolar Amerika.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang diminta mengulas penyebaran rakaman video itu berkata beliau tidak tahu menahu mengenainya.

“Saya tidak tahu tau apa pun, saya baru dengar, saya kena bacalah dulu.

“Kalau you (awak) boleh bagi briefing (taklimat), baguslah juga,” katanya kepada wartawan di Putrajaya.

Semalam juga, Ahli Majlis Tertinggi Lokman Noor Adam membuat laporan polis di Putrajaya meminta pihak berkuasa menyiasat pelaku dalam video itu serta mereka yang menyebarkannya. – 12 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen