BIRO politik PKR akan membincangkan hari ini isu video didakwa menunjukkan seorang pemimpin kanan parti itu melakukan hubungan homoseks, kata pengarah komunikasinya Fahmi Fadzil.
Mesyuarat mingguan perlu membincangkan isu panas tersebut memandangkan PKR dikaitkan dengan isu tersebut sejak video berkenaan tersebar semalam, katanya.
“Kita bermesyuarat biro politik macam biasa. Kira-kira pukul lima petang ini. Benar kita akan bincang isu itu (video) sebab nama parti telah dikaitkan.
“Kita akan putuskan sama ada keluarkan kenyataan ataupun adakan sidang media. Belum pasti,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu kepada The Malaysian Insight.
Mengulas dakwaan pemuda yang mengaku sebagai pelaku aksi homoseks dalam video itu, Fahmi berkata pihaknya sedang memeriksa individu berkenaan masih anggota parti.
Individu berkenaan, Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat pengakuan tersebut dalam satu video disiarkan di Facebook semalam.
“Untuk bekerja (jadi setiausaha politik) tidak semestinya anggota parti,” katanya merujuk kepada Haziq yang merupakan setiausaha sulit kepada timbalan menteri, Shamsul Iskandar Mat Akin.
Haziq merupakan seorang aktivis mahasiswa pelajar Universiti Malaya (UM) merupakan pengasas Mahasiswa Keadilan.
Fahmi juga enggan mengulas lanjut mengenai seorang lagi lelaki dalam rakaman video seks tersebut, yang didakwa sebagai menteri PKR.
Namun beliau percaya parti akan memberikan kerjasama sekiranya siasatan dijalankan.
“Saya rasa sukar untuk komen kerana maklumat saya terima tak lengkap. Kita belum tahu tetapi saya percaya pihak berkuasa dah mulakan siasatan parti akan beri kerjasama.
“Namun semuanya tertakluk kepada pendirian biro politik,” kata Fahmi lagi.
Video berkenaan disebarkan semalam melalui beberapa kumpulan sembang dalam aplikasi WhatsApp oleh individu tertentu yang belum dikenal pasti pada masa ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifudin Nasution berkata penyebaran video tersebut adalah satu serangan politik kotor dan menggesa akan ia dihentikan.
“PKR menggesa agar penyebaran video yang sedang ditularkan dan diperkatakan oleh umum dihentikan serta-merta.
“Gaya dan cara berpolitik seperti ini tidak membawa sebarang keuntungan kepada masyarakat dan negara.
“PKR sebagai salah satu parti komponen Pakatan Harapan akan terus fokus membantu kerajaan Persekutuan merangka dasar-dasar dan program untuk rakyat,” katanya. – 12 Jun, 2019.
Komen