Tahfiz terbakar, MAIWP dituntut beri penjelasan


Nabihah Hamid

Wakil daripada Amanah dan DAP melawat keluarga tiga beradik yang maut alam kejadian tahfiz terbakar 14 September lalu, dan menyampaikan sumbangan kepada ibu mereka, Mashawani Mohamed Shahid di Ampang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 September, 2017.

SELEPAS hampir dua minggu kejadian Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah terbakar dan mengorbankan 23 nyawa, Amanah dan DAP hari ini menuntut penjelasan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang didakwa pemilik bangunan berkenaan.

Naib Presiden Amanah Hasanuddin Mohd Yunus sebagai agensi di bawah kerajaan, isu melibatkan keselamatan bangunan tidak seharusnya berlaku.

“Seawal hari pertama lagi, kami berada di lokasi, buat kenyataan semua kegiatan agama mesti berada di bawah majlis agama Islam, aktiviti membuat sekolah maahad ini, di bawah pemantauan mereka, kalau berdaftar kena ikut peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bomba.

“Kalau tak berdaftar pula kena pastikan ia dipantau pihak berkuasa,” katanya kepada media selepas memberikan sumbangan kepada keluarga waris di Ampang, pagi tadi.

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah sebelum ini berkata bangunan sementara tiga tingkat di Kuala Lumpur itu dimiliki MAIWP dan menafikan sebarang pengubahsuaian dibuat termasuk pengadang tambahan diletakkan di premis berkenaan.

Roslan Awang Ali mendakwa bangunan itu di bawah kuasa MAIWP selepas diserahkan oleh pemilik asal sebagai wakaf, lapor New Straits Times.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar turut mendedahkan sekolah itu beroperasi tanpa permit dan pelan struktur bangunan yang dihantar kepada pihak berkuasa berlainan dengan struktur asal sekolah itu.

Sementara itu, peguam yang juga ahli DAP, Zulhazmi Shariff membidas sikap MAIWP yang berdiam diri.

“Sehingga hari ini kita tak dapat penjelasan MAIWP. Kita faham dengan pengetua tapi MAIWP sebagai pemilik bangunan kena beri penjelasan. DBKL yang luluskan pembinaan, dan pelan bagaimana boleh diluluskan tanpa pemantauan.

“Bangunan itu milik majlis agama, maka sepatutnya sebagai agensi kerajaan, ia patut tahu keselamatan dan struktur bangunan,” katanya.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata isu keselamatan melibatkan sekolah akan dibangkitkan dalam sidang Parlimen, Oktober ini.

“Kita akan bangkitkan isu keselamatan bukan saja sekolah tahfiz tetapi semua sekolah dan institusi untuk kepentingan keluarga, pengurusan dan pelajar.

“Sudah terlalu banyak kejadian kebakaran berlaku dan kita tidak boleh biarkan saja,” katanya.

Terdahulu, mereka menyampaikan sumbangan wang tunai kepada waris mangsa tiga beradik pelajar tahfiz yang terkorban dalam kejadian kebakaran pada 14 September lalu.

Kira-kira 20 wakil parti Amanah dan DAP hadir ke kediaman kakak kepada ibu mangsa Mashawani Mohamed Shahid di Lembah TTDI, Taman Kosas , Ampang pagi tadi. – 25 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen