Pusat tahfiz tiada sijil layak menduduki, kata Noh Omar


PUSAT tahfiz yang terbakar di Keramat hari ini tidak  memiliki sijil kelayakan menduduki bangunan selain telah diubah suai daripada struktur asal, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar.

Beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat ada menerima permohonan sjil perakuan berkenaan daripada pihak pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung bulan lepas, namun masih belum diluluskan.

“Mengikut pelan asal bangunan itu, ia berkonsep terbuka, tetapi telah dibina tembok dan tidak ikut pelan asal.

“Bangunan ini juga belum ada kebenaran untuk beroperasi daripada pihak bomba,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian hari ini.

Kebakaran awal pagi itu meragut nyawa 22 pelajar tahfiz dan dua guru tahfiz.

Noh berkata dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, hampir 29 kes kebakaran melibatkan sekolah tahfiz berlaku di seluruh negara.

“Kebanyakan (bangunan) tahfiz ini tidak mengikut peraturan,” katanya.

Beliau berkata pengusaha sekolah tahfiz harus mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan sentiasa mengutamakan keselamatan para pelajar.

Beliau meminta pengusaha tahfiz agar mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihaknya untuk memastikan tahfiz yang beroperasi mematuhi syarat yang telah ditetapkan. – Bernama, 14 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen