AHLI Dewan Undangan Negeri Kuala Sepetang, Perak Chua Yee Ling yang diusir dari Sarawak pada Sabtu berkata beliau masih tidak dapat memahami mengapa dia dihalang daripada memasuki negeri Malaysia Timur itu.
Wakil rakyat PKR itu dijemput oleh PKR Sarawak untuk melawat rumah orang tua dan anak yatim piatu serta menghadiri “Jamuan Makan Malam Berlian Merah Jambu” yang juga dianjurkan PKR negeri di Miri Eastwood Valley Golf and Country Club semalam.
Chua sedang menghadiri majlis makan malam itu apabila “diambil” pegawai imigresen Sarawak dan diusir.
Beliau mengecam kerajaan negeri kerana sikap pilih kasih, mensasarkan ahli politik pembangkang dan tidak demokratik.
“Saya tak salahkan pegawai imigresen kerana mereka hanya buat kerja. Sebaliknya saya sasarkan kritikan saya kepada salah guna kuasa dilakukan kerajaan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sarawak dan Sabah mempunyai autonomi dalam isu imigresen. Kedua-dua negeri ditadbir kerajaan Barisan Nasional (BN) itu seringkali menggunakan kuasanya untuk menghalang ahli politik dan aktivis pergerakan masyarakat sivil Semenanjung dari memasuki negeri itu.
Chua berkata beliau menghormati kuasa dan autonomi Sarawak, tetapi “tanggungjawab itu tidak boleh disalah guna dengan cara yang tidak demokrtik, tidak beradab dan tidak profesional.”
“Jelas sekali ialah halangan terpilih, amalan pilih kasih yang terpakai hanya untuk pemimpin politik pembangkang.
“Sehingga sekarang, saya masih tidak faham mengapa Ketua Menteri Abang Johari Openg buat begini terhadap saya. Apa asas halangan dan pengusiran saya?
“Saya tidak faham bagaimana (saya adalah) ancaman kepada keselamatan nasional dan saya meminta jawapan daripada ketua menteri,” katanya.
Chua juga berkongsi maklumat lanjut mengenai pengusirannya semalam, yang katanya mengejutkan dan “sangat tidak perlu”.
Katanya, beliau dikunjungi pegawai imigresen ketika jamuan sedang berlangsung dan terus diusir ke Kuala Lumpur.
Chua sedang menyampaikan ucapan apabila menyedari ada pegawai imigresen yang menunggu di bawah pentas.
Beliau kemudian dimaklumkan yang pegawai imigresen berada di situ untuk mengiringinya ke lapangan terbang Miri.
“Saya bernasib baik mereka dihalang ahli PKR kami, tetapi rakan saya kata pegawai itu masih perlu membawa saya pergi seperti diarahkan.
“Saya beri jaminan yang saya akan beri kerjasama penuh. Saya minta mereka tidak ganggu jamuan makan malam itu.”
Jamuan itu, tambahnya masih berlangsung dengan jayanya walaupun wujud peristiwa “tidak masuk akal dan gangguan.”
Sebelum pengusirannya, beberapa wakil rakyat PKR juga dihalang memasuki negeri itu sebaik tiba di Sarawak.
Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian dihalang masuk sebaik tiba di Miri semalam.
Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar terpaksa membatalkan rancangannya untuk menghadiri majlis jana dana itu dan Larian Wanita Ungu di Miri selepas Zuraida dan Hee dilarang masuk.
Awal hari ini, Nurul Izzah mengeluarkan kenyataan yang beliau menerima pengesahan namanya berada dalam senarai mereka yang dihalang memasuki Sarawak.
Presiden PKR dan PH Dr Wan Azizah Wan Ismail juga berkata kerajaan Sarawak takutkan bayang-bayang sendiri apabila ditanya mengenai halangan kemasukan dan pengusiran Chua itu. – 24 September, 2017.
Komen