Perubahan perlu bermula dari peringkat tertinggi, kata Wan Azizah


Looi Sue-Chern

Kalau Kerajaan Persekutuan juga diubah, rakyat Sabah dan Sarawak akan beroleh perubahan yang sebenar, kata Dr Wan Azizah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 September, 2017.

DR Wan Azizah Wan Ismail hari ini memberitahu pengundi Sabah dan Sarawak bahawa perubahan mesti bermula dari peringkat tertinggi, menjelang kedatangan pemimpin-pemimpin utama pakatan pembangkang iaitu Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang ke sana hari ini.

Beliau berkata kedatangan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) ke negeri-negeri Borneo itu bukanlah untuk melancarkan “serangan” kepada negeri-negeri yang diperintah dan dianggap “deposit tetap” Barisan Nasional (BN), tetapi untuk meyakinkan mereka bahawa perlunya kepada perubahan dalam Kerajaan Persekutuan.

Walaupun dengan parti tempatan mereka sendiri, setakat ini tidak banyak perubahan yang boleh mereka capai, kata presiden PH itu.

“Ia untuk menawarkan satu perjanjian baharu kepada Sabah dan Sarawak. Mereka selalu rasa mereka tak diberikan hak mereka selepas menyertai persekutuan. Kami beritahu yang mereka perlu ubah Kerajaan Persekutuan jika mahukan perubahan.

“Ada juga pergerakan yang menggesa kepada autonomi, tetapi selepas itu, apa pula (untuk kedua-dua negeri).

“Sabah contohnya, sudah berapa kali bertukar kerajaan negeri, tapi mereka tak nampak banyak perubahan untuk mereka. Kalau Kerajaan Persekutuan juga diubah, mereka akan beroleh perubahan yang sebenar.

“Kami nak beritahu mereka apa yang PH akan tawarkan… iaitu mereka ada masa depan dengan PH jika mereka (undi) berubah,” katanya kepada pemberita di kawasan Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.

Dr Wan Azizah dan Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai berada di Sabah pada Jumaat bagi melancarkan manifesto PH untuk kedua-dua negeri di Malaysia Timur itu.

Enam manifesto itu antara lainnya menjanjikan jawatan timbalan perdana menteri kepada Sabah dan Sarawak, juga bahagian daripada pendapatan yang lebih besar jika PH berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dr Mahathir dan Lim Kit Siang hari ini berada di Kuching untuk ceramah PH pertama mereka.

Beberapa pemimpin dari parti komponen PH iaitu PKR telah dilarang memasuki Sarawak semalam.

Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar semalam telah membatalkan penerbangannya ke Miri bagi menghadiri majlis makan malam untuk mengumpul dana dan Women’s Purple Walk iaitu protes “politik toksik” selepas dua ahli parlimen PKR, Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan) dilarang memasuki Sarawak semalam.

Nurul Izzah hari ini berkata beliau menerima pengesahan yang beliau berada dalam senarai individu yang dilarang memasuki Sarawak.

Malam semalam, Adun Kuala Sepetang Chua Yee Ling menjadi pemimpin PKR ketiga dihantar pulang.Semasa sedang berucap pada majlis makan malam Pink Diamond, beliau didatangi pegawai Imigresen Sarawak dan dibawa ke lapangan terbang.

Kerajaan negeri mungkin “takut pada bayang-bayang sendiri”, kata Dr Wan Azizah.

“Mereka ada kuasa untuk halang orang masuk ke negeri mereka seperti yang termaktub dalam perlembagaan Sarawak. Tapi untuk apa?

“Walaupun negeri-negeri Borneo mempunyai liputan internet tidak meluas, tetapi ada beberapa kawasan yang kami boleh capai melalui Internet dan media sosial. Telefon pintar ada di mana-mana saja.”

Sabah dan Sarawak mempunyai aotonomi dalam hal-hal imigresen. Kedua-dua negeri sering menghalang masuk ahli politik dan pemimpin masyarakat dari Semenanjung. 

Sarawak katanya seolah-olah mahu menunjukkan kuasanya melalui undang-undang imigresennya.

“Bekas ketua menteri besar Adenan Satem juga lakukan perkara yang sama. Tetapi dulu bila kami mohon bagi beberapa pemimpin yang dilarang masuk Sarawak untuk menghadiri satu majlis pengkebumian, ia diluluskan.

“Dengan larangan terbaharu ini, nampaknya ada gelombang baharu akan datang.”

Adenan yang meninggal dunia pada Januari lalu sering mempraktikkan kuasa kerajaan negeri ke atas imigresen untuk melarang individu yang dianggap “tokoh agama, rasis dan pengacau” masuk ke Sarawak.

Sebelum ini, Ahli Parlimen PKR Tian Chua (Batu), Rafizi Ramli (Pandan) dan R. Sivarasa (Subang), juga Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution serta aktivis masyarakat seperti bekas pengerusi Bersih 2.0 S. Ambiga, Steven Ng, Cynthia Gabriel, Dr Wong Chin Huat dan Johan Tan dilarang memasuki Sarawak.

Begitu juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos dan Ibrahim Ali dari Perkasa yang disifatkan Adenan sebagai persona non grata. – 24 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen