Adun PKR diminta tinggalkan Sarawak ketika majlis makan malam


Desmond Davidson Bede Hong

ADUN Kuala Sepetang Chua Yee Ling (kanan) diminta meninggalkan Sarawak ketika sedang berucap pada majlis makan malam di Miri malam ini. – Gambar The Malaysian Insight, 23 September, 2017.

BELUM sempat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang Chua Yee Ling menghabiskan ucapannya pada majlis makan malam Pink Diamond malam tadi, beliau didatangi pegawai Imigresen Sarawak untuk dibawa ke lapangan terbang, pulang ke Kuala Lumpur.

Chua merupakan pemimpin PKR ketiga dari Semenanjung yang dihalang memasuki Sarawak hari ini.

Pengusiran Chua berlaku selepas Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar membatalkan rancangannya ke Sarawak selepas dua ahli Parlimen PKR Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Hee Loy Sian (PJ Selatan) dilarang memasuki negeri itu sebaik saja tiba di Miri pada jam 2 petang tadi.

Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai sepatutnya dijadualkan tiba di Miri pada jam 7 malam ini, tetapi selepas dinasihatkan, membatalkan penerbangannya, kata Ketua PKR Baru Bian kepada The Malaysian Insight.

“Nurul tahu beliau tidak akan dibenarkan masuk,” kata Baru.

Chua tiba lebih di Miri bersama Zuraida dan Hee tetapi hanya beliau yang dibenarkan masuk.

Bagaimanapun, pada kira-kira jam 8.30 malam, pegawai-pegawai imigresen datang ke Miri Eastwood Golf and Country Club.

“Chua sedang berucap ketika pegawai imigresen datang,” kata Timbalan Ketua Pemuda PKR Sarawak Simon Siah.

Siah berkata mereka mencelah ketika Chua sedang berucap tetapi pemimpin PH Sarawak termasuk Chong Chieng Jien , Baru Bian dan See Chee How segera naik ke pentas untuk menangguhkan tindakan pegawai imigresen sehingga Chong selesai berucap.

Chua kemudian diiring ke lapangan terbang berhampiran dan menaiki penerbangan jam 9.30 malam ke Kuala Lumpur.  

Terdahulu, dalam postingnya di Facebook, Chua memaklumkan Zuraida dilarang masuk ke Sarawak.

Pemimpin-pemimpin PKR dijadualkan berada di Miri untuk menghadiri majlis makan malam bagi mengumpul dana pada malam ini dan menyertai Purple Women’s Walk - satu protes membantah “politik toksik” - pagi esok.

erita mengenai Zuraida itu muncul sebaik saja Ketua Menteri Abang Johari Openg memberitahu pemberita yang beliau tidak akan menghalang Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad, pemimpin DAP Lim Kit Siang dan pemimpin PH lain memasuki Sarawak untuk ceramah mereka di Kuching esok.

Selain menyifatkan mereka sebagai “tidak penting”, Abang Johari juga berkata mereka dibenarkan masuk kerana “bukan pelampau”.

Chua itu memberitahu halangan ke atas dirinya dan Zuraida melalui posting di Facebook.

Zuraida yang memang telah disenarai hitam jabatan imigresen negeri itu, diambil gambar sedang diapit dua pegawai imigresen sambil memegang “Notis Larangan Masuk” yang diberikan kepadanya.

Alasan sebenar larangan masuk tidak pernah diberikan namun “alasan standard” yang diberikan ialah ia dilakukan mengikut Seksyen 65(i)(a) Akta Imigresen 1959/63 yang menyatakan “pihak berkuasa negeri telah mengarahkan tiada kelulusan dikeluarkan kepada kamu untuk memasuki Negeri Sarawak dan kelulusan itu tertakluk di bawah Seksyen 66 untuk kamu memasuki negeri”. – 23 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen