Nurul Izzah batal penerbangan ke Miri selepas 2 pemimpin dilarang masuk


Desmond Davidson

Nurul Izzah sepatutnya tiba di Miri sekitar jam 7 malam ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2017.

NAIB Presiden PKR Nurul Izzah Anwar membatalkan perjalanannya ke Sarawak kerana bimbang akan dilarang masuk ke negeri itu selepas dua pemimpin parti, Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Hee Loy Sian (PJ Selatan) dilarang masuk sebaik tiba di Miri pada jam 2 petang tadi.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu sepatutnya tiba di Miri sekitar jam 7 malam ini.

“Nurul tidak menaiki penerbangannnya selepas dinasihatkan tidak berbuat demikian,” kata Ketua PKR Sarawak Baru Bian kepada The Malaysian Insight.

“Dia tahu dia tidak akan dibenarkan masuk.”

Sementara itu Nurul Izzah dalam kenyataan berserta video di Facebook memohon maaf kerana terpaksa membatalkan hasrat ke Sarawak seperti yang dirancang.

“Teman-teman, terutamanya rakan-rakan seperjuangan di Sarawak, saya memohon maaf. Atas dasar pertimbangan politik yang sempit dan bertoksik, saya dihalang memasuki Sarawak.

“Saya komited dan teruja untuk hadir dan turun bersama-sama teman di Sarawak dalam program yang dijadualkan.

“Taktik politik kotor ini yang harus kita basmi. Malaysia tidak kan berubah menjadi negara yang maju dan ebas sekiranya perkara ini kekal menjadi amalan.

“Bersama selamatkan Malaysia!” kata Nurul Izzah. 

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang Chua Chee Ling yang menaiki penerbangan yang sama dengan Zuraida dan Hee, dibenarkan masuk.

Mereka berada di Miri untuk menghadiri majlis makan malam bagi mengumpul dana pada malam ini dan menyertai Purple Women’s Walk - satu protes membantah “politik toksik” - pagi esok.

Berita mengenai Zuraida itu muncul sebaik saja Ketua Menteri Abang Johari Openg memberitahu pemberita yang beliau tidak akan menghalang Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad, pemimpin DAP Lim Kit Siang dan pemimpin PH lain memasuki Sarawak untuk ceramah mereka di Kuching esok.

Selain menyifatkan mereka sebagai “tidak penting”, Abang Johari juga berkata mereka dibenarkan masuk kerana “bukan pelampau”.

Chua itu memberitahu halangan ke atas dirinya dan Zuraida melalui posting di Facebook.

Zuraida yang memang telah disenarai hitam jabatan imigresen negeri itu, diambil gambar sedang diapit dua pegawai imigresen sambil memegang “Notis Larangan Masuk” yang diberikan kepadanya.

Alasan sebenar larangan masuk tidak pernah diberikan namun “alasan standard” yang diberikan ialah ia dilakukan mengikut Seksyen 65(i)(a) Akta Imigresen 1959/63 yang menyatakan “pihak berkuasa negeri telah mengarahkan tiada kelulusan dikeluarkan kepada kamu untuk memasuki Negeri Sarawak dan kelulusan itu tertakluk di bawah Seksyen 66 untuk kamu memasuki negeri”.

Zuraida yang dibenarkan memasuki Sarawak bagi menghadiri rumah terbuka hari raya di Petra Jaya pada bulan lepas, dilaporkan terkejut apabila dihalang masuk.

“Saya terkejut dan ia mengecewakan Zuraida,” kata Baru kepada The Malaysian Insight menerusi panggilan telefon dari Miri.

“Saya ingatkan kerajaan baru di bawah Abang Johariakan berbeza dari Adenan Satem dan Abdul Taib Mahmud.

“Saya ingatkan mereka (negeri) hanya akan haramkan pemimpin pembangkang semasa pilihan raya. Ini bukannya pilihan raya.

“Tiada asas untuk halang Zuraida. Dia bukan pelampau mahu pun ahli kumpulan pelampau.

“Dia datang atas urusan politik yang sah,” kata Baru.

Baru berkata satu-satunya sebab kenapa karajaan negeri menghalang Zuraida masuk adalah kerana kerajaan BN bimbang dengan pembangkang.

“Mereka tak mahu pemimpin PH datang sini dan berkongsi testimoni mereka.”

DAP berkata keengganan Sarawak membenarkan Zuraida memasuki negeri itu belum pernah berlaku sebelum ini kerana beliau dinafikan kebebasan untuk bergerak di dalam negaranya sendiri.

Pembantu Ketua PH Sarawak Chong Chieng Jen, Kelvin Yii berkata tiada bukti mengatakan Zuraida dan Hee adalah ancaman kepada Sarawak, dan larangan itu adalah satu “tindakan pengecut dan menindas hak rakyat negara ini”. – 23 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen