
DI meja kerjanya, Khoo Kay Kim selalu nampak seolah-olah tenggelam di tengah-tengah buku, laporan kajian dan tugasan pelajarnya, kertas pembentangan dari pelbagai seminar dan persidangan. Di antara semuanya selalu ada terselit keratan akhbar di sana sini, dan selebihnya susunan akhbar lama.
Tubuhnya agak kecil; pada ketinggian 5 kaki 3 inci atau lebih kurang 160 sentimeter, beliau nampak seperti kerdil di antara rak buku di tepi dinding dan buku-buku serta tugasan pelajar yang berlonggok di meja.
Namun Khoo seorang gergasi dalam bidang sejarah dan persejarahan Malaysia, sebuah nama besar yang unggul – tiada tolok banding.
Selama lebih lima dekad beliau menyebarkan pemahaman tentang sejarah guna untuk membina negara bangsa – tanah air dan rakyatnya yang sangat beliau cinta. Pembacaannya luas, pengetahuan dan maklumatnya kaya – sehingga disebut “ensiklopedia bergerak.”
Khoo, 82, menghembuskan nafas terakhir pada Selasa lalu (28 Mei) di sisi keluarga di Pusat Perubatan Universiti Malaya selepas kurang sihat sejak beberapa bulan lalu.
Sebenarnya beliau sudah mula tidak sihat sejak hujung 2012, selepas kena serangan jantung dan dimasukkan ke unit rawatan rapi. Pada Oktober lepas, beliau menjalani pembedahan pintasan jantung, dan sejak itu keluar masuk hospital sehinggalah kematiannya minggu ini.
Ketika terkena serangan jantung dan menjalani rawatan seterusnya – sepanjang hampir tujuh tahun ini – Khoo tetap gigih melakukan apa yang dicintainya: mendidik, memberi faham tentang sejarah, dan lebih utama, menyemai perpaduan bangsa.
Beliau meninggal dunia kebetulan ketika genap 50 tahun tragedi berdarah 13 Mei 1969. Khoo antara cendekiawan yang terlibat menyusun semula negara selepas peristiwa penuh trauma itu.
Ini memang kebetulan, tetapi ia kebetulan yang bermakna – yang meletakkan Khoo pada konteks yang betul untuk kita faham dan kenang hidup dan matinya.
Khoo pergi ketika kita kini sedar betapa banyak rakyat Malaysia yang sebenarnya bernegara tetapi tidak berkebangsaan – yang misalnya dengan salah melihat Bahasa Melayu sebagai bahasa orang Melayu dan bukan bahasa rasmi sebuah kebangsaan.
Khoo pergi ketika begitu banyak orang, dek gagal memahami sejarah negara dan bangsa, terperangkap dalam polemik tentang pengagihan ekonomi dan pendidikan yang tidak berkesudahan.
Pada kematiannya, Khoo dikenang sebagai seorang yang betul-betul menghayati sebuah konsep negara bangsa – atas nama Malaysia.
Tidak hanya kerana beliau antara penggubal Rukunegara selepas tragedi 13 Mei. Tidak juga kerana beliau membina sebuah keluarga yang tidak boleh dipetakkan kepada pecahan etnik, seperti lazimnya keluarga lain di Malaysia.
Beliau dikenang kerana dari setiap sisi hidupnya, tercermin cita-cita sebuah negara bangsa yang murni dan sejati.
Baginya, bangsa itu bukan kaum – dan banyak orang selama ini tersilap apabila menyamakan atau menterjemah maksud bangsa sebagai kaum. Bagi beliau, rakyat Malaysia biar kaum apa sekali pun, mereka itu bangsa Malaysia.
Pada kematiannya, orang mula melihat seluruh hidupnya tidak ubah sebuah buku teks penghayatan negara bangsa.
Pemikirannya boleh dibaca dalam sekian banyak kajiannya tentang sejarah, yang dilakukannya sehingga ke akhir hayatnya. Sebahagian kisah hidupnya yang membentuk cara beliau berfikir boleh pula ditelaah dalam biografinya sendiri “I, KKK – The Autobiography of a Historian”.
Semua yang beliau lakukan – hidup dan matinya – untuk tanah air. Di tengah-tengah rakan senegara sebangsa, beliau melepaskan dirinya hampir bebas daripada ikatan identiti etnik.
Beliau berdiri sebagai anak Malaysia, lebih tinggi dan lebih di depan berbanding sebagai seorang Peranakan Cina.
Beliau tidak pernah peduli “siapa” dirinya dalam kalangan masyarakat yang selalu mahu dikenali dengan identiti kaum dan agama. Sebaliknya, beliau lebih peduli akan “apa” yang boleh disumbangkannya dengan pengalaman dan pengetahuan yang ada.
Dalam kepalanya selalu mengambang sebuah negara terbayang, yang rakyatnya tetap selesa antara satu sama lain biarpun saling berbeza budaya dan agama – berkongsi identiti sama.
Identiti yang sama itu tentunya bahasa.
Khoo misalnya tidak apologetik apabila tegas berulang kali menyalahkan sistem pendidikan yang terpecah mengikut kaum sebagai akar punca masalah tipisnya semangat kebangsaan dalam kalangan warga Malaysia.
Selebihnya, beliau menyalahkan ahli politik dan parti politik berasaskan kaum yang selalu menunggang isu kaum dan agama.
Bagi Khoo, anak semua kaum harus belajar di sekolah aliran kebangsaan sebagai sebuah bangsa. Katanya, sekolah jenis kebangsaan dalam aliran Mandarin dan Tamil sudah tidak lagi perlu kerana sudah lari daripada tujuan asalnya – yang boleh difahami dengan membaca sejarah.
Mata pelajaran bahasa itu tidak akan diketepikan kerana masih boleh saja diajar di sekolah kebangsaan.
Menurut Khoo, British membenarkan penubuhan sekolah jenis kebangsaan pada awalnya kerana kebanyakan pendatang pada masa itu tiada niat untuk kekal tinggal di Tanah Melayu.
Namun sekarang anak cucu mereka sudah jadi warganegara dan harus menerima semua ciri kebangsaannya sebagai amalan dan sebahagian diri mereka – kerana Malaysia ini juga tanah air mereka.
Apa yang berlaku adalah sebaliknya: mulut boleh saja menuturkan Malaysia ini negara dan tanah air tetapi jiwa tidak dapat menipu betapa tipis semangat kebangsaannya.
Atas pandangannya, Khoo malah dituduh pengkhianat oleh kaumnya sendiri. Atas pandangannya juga, Khoo diperalatkan sebagai senjata dalam perang politik yang mengatasnamakan kaum dan agama.
Hujahnya dipotong-potong dan disebar luas terasing-asing, demi memenuhi cita-cita politik kaum yang sempit.
Khoo sama sekali tidak pernah mahu terlibat dalam perang politik yang busuk, dan tidak membawa apa-apa untung jangka panjang untuk negara bangsa.
Orang tidak dapat faham bahawa beliau hanya melakukan tugas sebagai sejarawan – membaca masa lalu untuk memahami masa kini dan mencorak masa depan.
Apakah Khoo peduli dengan caci maki ke atasnya, yang malah dilemparkan pada kematiannya? Tidak, sedikit pun tidak berbekas pada dirinya.
Apakah Khoo belajar daripada kesilapan untuk tidak membiarkan dirinya diperalatkan lagi? Tidak juga.
Khoo tetap berbuat apa yang harus beliau buat sebagai guru sejarah bangsa – memberi faham kepada anak bangsanya akan sejarah mereka sendiri supaya mereka nampak jalan untuk masa depan di kemudian hari.
Hatinya polos dan murni untuk bersangka buruk atau berdendam – barangkali kesan pembinaan sikap dan nilai dalam dirinya tentang tanah air dan kebangsaan daripada ilmu dan pelajaran yang tidak hanya dikutipnya di sekolah tetapi juga di tapak pesta fun fair dan di padang bola.
Pada kematiannya inilah kita mengenang sosok dan pemikiran Khoo yang akan terus hidup sebagai guru sejarah bangsa. – 1 Jun, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Roger 5201 · Ulasan