Menteri perlu muhasabah atas teguran Daim, kata Syed Saddiq


Diyana Ibrahim

Teguran bahawa para menteri tidak bijak berkomunikasi perlu diambil serius untuk memperbaiki prestasi khidmat kepada rakyat, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Mei, 2019.

MENTERI Kabinet perlu bermuhasabah atas teguran Daim Zainuddin supaya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan akhbar, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya, teguran bahawa para menteri tidak bijak berkomunikasi itu perlu diambil serius untuk memperbaiki prestasi khidmat kepada rakyat.

“Kita perlu sentiasa ambil teguran secara serius dan semua perlu muhasabah kerana tidak ada seorang bebas lakukan kesilapan.

“Ini termasuk diri saya, teguran akan diambil secara serius,” kata Syed Saddiq kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas menteri kewangan itu pada malam tadi yang mengaitkan kejatuhan nilai ringgit dengan masalah komunikasi menteri tertentu.

Daim dalam satu wawancara disiarkan Astro Awani juga menasihati menteri Kabinet untuk berbincang dengan setiausaha skhbar masing-masing sebelum mengeluarkan kenyataan.

Daim membuat teguran serupa kepada kepada anggota Kabinet Pakatan Harapan selepas parti itu mengambil alih kerajaan persekutuan dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Pada Januari lalu, Daim menasihati menteri untuk tidak bertengkar dalam kalangan mereka di khalayak ramai kerana ini akan membuatkan rakyat kecewa dengan kerajaan.

Pada Mac, Daim menegur kerajaan sekali lagi kerana berpendapat menteri membuat penerangan sewajarnya ke atas dasar kerajaan.

Dalam wawancara semalam, Daim juga berkata orang ramai takut berbelanja kerana bimbang dengan notis cukai pendapatan yang diterima. – 30 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen