Jangan tergesa-gesa buat kenyataan akhbar, kata Daim


Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin menasihati menteri kabinet untuk berbincang terlebih dahulu dengan Setiausaha Akhbar masing-masing sebelum mengeluarkan kenyataan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2019.

BEKAS Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin menasihati menteri kabinet untuk berbincang terlebih dahulu dengan Setiausaha Akhbar masing-masing sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Kalau nak buat kenyataan, bincang tengok apa kesannya, bincang dengan pegawai kemudian bincang dengan menteri. Bukan seronok-seronok buat kenyataan,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Astro Awani malam ini.

“Kalau positif keluar kenyataan, kalau negatif jangan keluar kenyataan, kalau negatif nak umum juga, bodohlah,” kata bekas menteri yang merupakan salah seorang penasihat terdekat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ini bukan kali pertama beliau memberikan nasihat kepada kabinet Pakatan Harapan di mana majoriti menteri dan timbalan menteri merupakan kali pertama memegang jawatan itu selepas PH mengambil alih kuasa persekutuan pada pilihan raya umum tahun lepas.

Pada Januari, Daim menasihati menteri untuk tidak bertengkar dalam kalangan mereka di khalayak ramai kerana ini akan membuatkan rakyat kecewa dengan kerajaan.

Pada Mac beliau berkata, menteri tidak cukup menerangkan dasar kerajaan kepada rakyat.

Dalam wawancara bersama Astro Awani, Daim juga berkata orang ramai semakin takut terhadap notis cukai pendapatan yang dihantar kepada mereka menyebabkan mereka takut berbelanja.

Beliau berkata, keenggannan mereka untuk keluar berbelanja menyebabkan nilai ringgit menurun.

“Income tax tak perlulah kacau orang. Kalau hantar notis mereka takut nak belanja, patut jangan kacau rakyat,” katanya. – 29 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen