HANYA tinggal seminggu sahaja sebelum Malaysia meraikan Hari Raya Aidilfitri-perayaan utama agama rasmi negara- tetapi kedai baju Melayu dan songkok di Jalan Taiping, Klang masih lengang.
Ramai peniaga, antaranya, Hani Suffian tidak lagi dapat menyembunyikan kerisauan melihatkan jumlah pengunjung bazar antara yang terbesar di Klang itu tidak seramai tahun-tahun sebelumnya.
“Tahun lepas, lepas minggu kedua Ramadan sudah ramai orang, lagi-lagi hari Sabtu macam hari ini. Tapi tengok lah, tinggal lebih kurang seminggu nak raya tapi lebih ramai penjual daripada pembeli,” kata Hani.
“Mungkin ramai orang akan datang last minute bila orang start lelong,” kata peniaga berusia 24 tahun yang menjual baju Melayu itu.
Kebimbangan Hani turut dikongsi peniaga bazar Ramadan lain di Shah Alam dan Kuala Lumpur yang tersepit apabila jualan tahun ini tidak sehebat tahun sebelumnya.
Situasi ini jauh berbeza dengan jualan bazar Ramadan dan Hari Raya tahun lepas yang jatuh pada minggu ketiga selepas pilihan raya bersejarah 9 Mei yang mengubah kerajaan Malaysia buat pertama kali.
Kemeriahan itu turut dibantu oleh tempoh tanpa cukai yang bermula daripada Jun hingga Ogos, apabila kerajaan Pakatan Harapan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Putrajaya memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September tahun lepas selepas tempoh lega cukai tiga bulan itu.

Tinjauan serupa dijalankan The Malaysia Insight tahun lepas mendapati suasana beraya penuh meriah wujud kerana dua peristiwa bersejarah itu, menyebabkan rakyat Malaysia banyak berbelanja seterusnya meningkatkan jualan peniaga.
Tetapi, tinjauan yang dilakukan The Malaysian Insight tahun ini di Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur mendapati sembilan daripada 10 peniaga yang ditemui berkata jualan mereka menurun.
Memburukkan keadaan, kemeriahan berbelanja pengguna tahun lepas sudah tidak lagi berulang tahun ini, kata mereka lagi.
Walaupun begitu, pengguna yang ditemui berkata semangat beraya masih wujud walaupun mereka tidak lagi berbelanja besar membeli pakaian, kuih-muih dan aksesori Hari Raya tahun ini.
Hampir semua 10 pengguna yang ditemui di Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur merasakan kemeriahan Hari Raya tahun ini masih sama dengan tahun lepas.
“Harga naik atau tidak, raya tetap raya. Mood masih meriah kerana kita sebulan berpuasa.
“Baju untuk anak saya beli satu pasang sahaja kerana naik harga. Tapi saya rasa mood tu sama macam tahun lepas,” kata Mohd Radzi dari Puncak Alam yang ditemui bersama isterinya di bazar Hari Raya Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Berjimat tetapi bergembira
Tahun ini, tinjauan The Malaysian Insight sekali lagi menemui 10 peniaga dan 10 pengunjung di bazar terkenal di Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.
Pengunjung ditanya tentang gaya perbelanjaan mereka dan pandangan tentang suasana Hari Raya tahun ini. Manakala, peniaga pula ditanya tentang jualan dan tanggapan mereka terhadap kemeriahan pengguna berbelanja.
Daripada 10 pengunjung yang ditemui, tujuh daripada mereka berkata modal raya mereka sama seperti tahun lepas, manakala dua lagi mengeluarkan modal kurang.
Penyelia kilang Ridzwan Malik di Klang adalah satu-satunya penggunjung yang peruntukan beraya tahun ini naik kerana mendapat bonus diberikan syarikatnya bekerja.
Pengunjung yang berbelanja kurang pula berkata peruntukan beraya mereka kurang kerana harga terutamanya pakaian naik tahun ini.
“Raya (tahun) ini, saya beli sepasang sahaja baju untuk kedua-dua anak saya,” kata ahli perniagaa Isa Sharif yang menjelaskan tahun lepas beliau mampu membeli dua pasang baju untuk anak lelaki dan perempuannya.
Separuh penggunjung yang ditemui merasakan harga terutama untuk pakaian dan aksesori seperti songkok dan tudung naik sehingga 10%.

Penggunjung lain seperti pesara Mohd Ali Majid di Kuala Lumpur pula berkata tiga anaknya yang sudah berkeluarga perlu memilih belah keluarga mana hendak beraya tahun ini, tidak lagi mampu beraya di kedua-dua belah keluarga kerana kos perjalanan dan makanan naik.
“Dulu anak saya akan balik pada Hari Raya pertama, lepas itu dia akan balik ke rumah mertua pada raya ketiga atau keempat. Tapi sekarang dia mampu balik jumpa satu sahaja keluaga,” katanya yang berusia 71 tahun dan menetap di Ampang.
Tetapi, menjawab soalan sama ada kemeriahan beraya masih terasa tahun ini, sembilan daripada 10 pengguna ditemui berkata Hari Raya masih akan disambut meriah.
“Apa-apa pun Hari Raya tetap Hari Raya dan kita terpaksa belanja. Dan setiap tahun tetap meriah,” kata pemandu teksi dari Klang, Mahad Kalimun, 46, sambil membawa baju raya dibelinya untuk tiga orang anaknya.

Keluhan peniaga
Berbeza dengan kemeriahan beraya yang masih dirasai penggunjung, sembilan daripada 10 peniaga yang ditemui pula berkata jualan tidak memberangsangkan menyebabkan Hari Raya mereka sudah tidak meriah.
“Tahun ini jualan memang turun. Kita agak dalam puluhan ribu macam itu.” kata peniaga baju Melayu, Fikri Hanafi di Shah Alam.
Beliau turut menyalahkan kegagalan perancangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terhadap bazar Seksyen 7 yang menyebabkan pelanggan berkurangan.
“MBSA tak bagi orang jaja air atau food truck. Jadi orang susah nak shopping pasal bila orang shopping dia nak makan minum sekali.”
Daripada 10 peniaga yang ditemui, sembilan daripada mereka menganggarkan jualan berkurangan.

Di Kuala Lumpur, bazar Masjid India yang terkenal sudah terpecah kerana dua pertiga peniaganya dipindahkan ke Dataran Merdeka bagi mengurangkan kesesakan kawasan itu.
Tetapi, tindakan itu menyebabkan penggunjung hanya pergi ke Dataran Merdeka menyebabkan kedai di sepanjang Jalan Masjid India terabai, kata peniaga tudung Suariah Mat Amin.
“Orang pergi ke Dataran (Merdeka), tak ramai datang sini. Jika dahulu dapat berniaga hingga lewat malam tapi sekarang 7 malam dah tutup kedai kerana keadaan agak lengang,” kata peniaga berusia 47 tahun itu.
“Jika dahulu dapat keuntungan RM10,000 untuk jualan pada Sabtu Ahad tetapi sekarang nak cecah RM500 pun susah.”

Malah, situasi juga tidak jauh bezanya dengan peniaga yang dipindahkan ke Dataran Merdeka seperti Mohd Zaidi Mohd Noor yang bergelut menaikkan jualan.
Peniaga kuih raya berusia 46 tahun itu ketika berniaga di Jalan Masjid India boleh menjual 40 balang kuih raya sehari kini masih bergelut menghabiskan stok barangannya.
“Sambutan agak baik selepas waktu Maghrib, namun tidak semeriah tahun sebelum ini. Dahulu 40 balang sehari, sekarang hanya 20-30 balang sehari.” – 30 Mei, 2019.
Komen