SENYUMAN kini meniti di bibir peniaga dan pembeli sejak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) 6% dikurangkan kepada kadar sifar sejak dua minggu lalu.
Manakan tidak, peniaga makanan dan pakaian sudah menyaksikan sedikit peningkatan dalam jualan apabila begitu ramai pembeli memenuhi bazar-bazar Raya di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam.
Mereka juga mengharapkan keuntungan naik sedikit apabila tidak perlu lagi menyerap caj tambahan 6% yang dikenakan pembekal dan pengimport.
“Kami terpaksa menyerap cukai yang dikenakan oleh pembekal. Ini bermakna sedikit saja untung sebab kami tak boleh naikkan harga,” kata Iwan, tukang jahit di Sahjaya Enterprise.
“Sekarang, sudah boleh buat untung,” kata pemilik kedai yang terletak di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Walaupun kebanyakan pembeli yang ditemui The Malaysia Insight berkata mereka tidak berbelanja banyak tahun ini, ramai berkata mereka mempunyai lebih sedikit duit pada bulan ini.
“Sejak tak perlu bayar GST, saya dapat berjimat banyak untuk perbelanjaan harian isteri dan enam anak saya, makan dan kelengkapan mandi,” kata Azman Anas, 50, seorang peniaga dari Kelana Jaya.
“Jadi dari situ saya boleh tambah perbelanjaan untuk Hari Raya. (GST sifar) memang banyak membantu,” Azman memberitahu The Malaysian Insight ketika ditemui di Jalan Plumbum di Seksyen 7, Shah Alam, yang terkenal dengan kedai-kedai baju Melayu-Muslim moden.

Meringankan beban
“Jualan saya jatuh separuh pada 2015 berbanding pada 2014,” kata Aishah Sutab, 23, yang menjual tudung di Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan TAR).
Beberapa peniaga berkata mereka mengharapkan jualan naik antara 10% dan 20% tahun ini.
Fariz Aiman Hidayat Kamaruddin berkata kedainya dan kedai peniaga-peniaga lain di Jalan Plumbum, Shah Alam tahun ini melanjutkan waktu berniaga hingga ke pukul 1 atau 2 pagi disebabkan pelanggan yang ramai.
“Kalau tahun lepas, pukul 11 dah lengang. Sekarang ada peniaga yang buka kedai sampai pukul 3 pagi,” kata pengurus jualan itu, yang mengharapkan jualan di kedainya naik 20%.
Penjual songkok di Jalan Masjid India, Muhammad Yaakob Syed Mubarak pula berkata jualannya meningkat 10% sejak 1 Jun.
“Dulu pembekal kenakan GST dan saya terpaksa menyerap kos. Sekarang tidak lagi. Peniaga juga merasakan mereka sekarang ada lebih sedikit duit untuk berbelanja. Jadi, perniagaan saya pada tahun ini bertambah baik.”
Masih belum lega
GST yang dikurang kepada sifar dari 6% oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 1 Jun lalu. PH bercadang mahu memperkenalkan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) September ini, yang hanya akan dikenakan kepada pengilang dan pengimport.
Eliah Jaya, pemilik kedai menjahit di Shah Alam berkata walaupun tanpa GST, perniagaannya merudum tahun ini jika dibandingkan dengan tahun lepas.
“Saya rasa orang masih berhati-hati untuk berbelanja. Banyak ‘window shopping’ saja, tapi tak beli,” katanya sambil menambah jualannya merosot kira-kira 10% berbanding tahun lepas.
“Saya rasa lampin pakai buang sekarang lebih murah, boleh nampak bezanya,” kata penjawat awam, Ammar Syahmi yang sedang menunggu isterinya di luar sebuah kedai baju Muslimah di Shah Alam.
Seorang lagi pembeli, Asri Mektar, 37, berkata walaupun tahun ini dia tidak berbelanja banyak untuk Hari Raya, namun beban kewangannya kini berkurang.
“Bila dah tak ada GST, saya rasa kurang sikit beban bila berbelanja. Dulu, saya akan tengok cukai dan fikirkan banyak benda lain yang saya boleh beli. Sekarang dah senang nak beli barang-barang,” kata Asri.
Bagaimanapun, ada juga yang tidak menyedari banyak perbezaan sejak GST dikenakan kadar sifar sejak 1 Jun. Peniaga dan pembeli yang ditemu di Jalan TAR berkata setiap tahun kawasan membeli-belah itu dipenuhi orang dan tidak banyak perubahan pada perbelanjaan kerana menurut mereka berbelanja untuk Hari Raya adalah satu keperluan. – 14 Jun, 2018.
Komen