Tahfiz terbakar, jangan salahkan takdir


Asila Jalil

23 nyawa melayang dalam kebakaran yang menggemparkan negara dan pelbagai pihak menuntut institusi pendidikan agama itu dipantau kerajaan dan ditingkatkan aspek keselamatan sekolahnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2017.

PIHAK berkaitan dalam kebakaran yang meragut 23 nyawa di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah perlu memikul tanggungjawab dan tidak menyalahkan takdir.

Pengarah Islamic Renaissance Front Dr Ahmad Farouk Musa berkata mereka yang mendakwa tragedi itu sebagai “takdir” sebenarnya meletakkan kesalahan pada Tuhan dan tidak mahu bertanggungjawab kepada kejadian itu.

“Mereka letak kesalahan pada Tuhan berbanding diri sendiri.

“Kita perlu berusaha sehabis baik untuk memastikan keselamatan orang. Mereka (pihak bertanggungjawab) perlu dipertanggungjawabkan,” katanya kepada The Malaysian Insight selepas majlis pelancaran buku di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Kelang Saari Sungib berkara isu itu rumit tetapi apa yang berlaku sepatutnya menjadi pengajaran berbanding hanya mengatakan ia “takdir”.

“Takdir bermaksud anda berusaha keras memahami tragedi itu. Kejadian itu adalah pengajaran yang perlu dipelajari,” katanya.

Minggu lepas, 21 pelajar dan dua orang warden terbunuh dalam kebakaran di pusat tahfiz terletak di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Wan Mohd Nor Ibrahim berkata dalam satu kenyataan yang petrol disimbah kepada pintu, penyangkut tuala, rak kasut dan dinding sekolah itu.

Tujuh remaja lelaki berusia 11 dan 18 tahun ditahan reman sejak 15 September kerana mempunyai kaitan dengan kebakaran itu.

Tahanan itu berakhir semalam tetapi dilanjutkan sehingga 29 September bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mereka.

Semalam, lebih 10 keluarga mangsa bersepakat untuk menuntut keadilan dan bersetuju untuk melantik peguam untuk berdepan dengan pengurusan sekolah.

Pemilik pusat tahfiz itu mendiamkan diri berkaitan dakwaan keselamatan sekolah itu.

Antara dakwaan adalah sekolah itu beroperasi tanpa permit dan sijil layak menduduki dan kepatuhan (CCC) serta tidak mempunyai pintu kecemasan mencukupi sekiranya berlaku kebakaran.

Sementara itu, Pengetua Mohammad Zahid Mahmood berkata keluarga pelajar sepatutnya berbincang dengan pengurusan sekolah sebelum mengambil tindakan.

Katanya, pihak sekolah tidak berniat meminggirkan keluarga mangsa tetapi tidak sempat bertemu mereka kerana kekangan masa. – 23 September, 2017.



 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen