Pengetua sekolah tahfiz akan bertemu waris, ibu bapa pada Ahad


Diyana Ibrahim

Pengetua sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Mohd Zahid Mahmood meminta waris mangsa dan ibu bapa berbincang dengan pihak pengurusan sebelum mengambil apa-apa tindakan untuk tidak mengeruhkan suasana.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2017.

WARIS mangsa kebakaran sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah diminta agar berbincang terlebih dahulu dengan pihak pengurusan sebelum meneruskan sebarang tindakan dan tidak mengeruhkan suasana, kata pengetuanya Mohd Zahid Mahmood.

Pada masa yang sama beliau turut menjangkakan pertemuan dengan pihak keluarga mangsa dapat diadakan Ahad ini bagi membincangkan segala perkara serta penyerahan sumbangan dapat dilakukan.

“Kita anggap benda ini biasa, mungkin pihak ibu bapa anggap kami lepas tangan jadi kami tidak salahkan ibu bapa yang rasa kami mungkin nak tinggalkan mereka setelah dapat sumbangan banyak.

“Insya Allah kami tidak ada apa-apa. Kami memang telus dan akan bantu sedaya upaya waris mangsa.”

Beliau berkata pihak sekolah tahfiz tidak pernah berniat untuk mengabaikan keluarga mangsa namun hasrat untuk berjumpa terhalang kerana kekangan masa.

“Sebab masa tidak mencukupi jadi kami belum sempat berurusan dengan pihak ibu bapa.

“Saya berharap ibu bapa janganlah cepat membuat sesuatu, berbincanglah dengan kami kerana kami membantu pihak ibu bapa dari dulu walau tidak ambil sumbangan apa-apa,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di hadapan bangunan sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

The Malaysian Insight hari ini melaporkan lebih 10 waris mangsa kebakaran pusat tahfiz tersebut mahu melantik peguam untuk tindakan selanjutnya.

Waris berkenaan mendakwa sehingga kini pihak pengurusan sekolah tahfiz terbabit dan pengetuanya masih membisu dan tidak memaklumkan kepada mereka mengenai aspek keselamatan seperti didedahkan pihak berkuasa.

Mereka juga mendakwa tidak menerima sebarang sumbangan daripada pihak tahfiz.

Sebelum ini, Mohd Zahid yang juga Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) memberitahu akhbar The Star bahawa sekolah tahfiz itu mengumpulkan sumbangan sehingga RM1 juta.

Menyentuh mengenai kebimbangan pihak keluarga mangsa, Zahid berjanji pihaknya sememangnya telus dengan hasil sumbangan dan bakal mengagihkan kepada setiap keluarga terbabit.

Walaupun tidak mendedahkan jumlah sumbangan yang bakal diterima oleh pihak keluarga terbabit, Zahid berkata amaun tersebut lebih tinggi daripada apa yang diterima sekolah terbabit.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Wan Mohd Nor Ibrahim sebelum ini mendedahkan kebakaran sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah berpunca daripada api dicucuh menggunakan petrol yang disimbah pada beberapa bahagian bangunan itu.

Petrol itu disimbah pada pintu, rak penyangkut tuala, rak kasut dan dinding berdekatan pintu masuk bilik asrama di tingkat tiga bangunan sementara yang menempatkan pelajar itu.

Kebakaran itu membunuh 21 pelajar dan dua guru warden asrama. Hampir semua mangsa ditemui dalam keadaan rentung. 

Tragedi yang disifatkan sebagai insiden kedua terbesar dalam sejarah kebakaran sekolah tahfiz di negara ini dilaporkan berpunca daripada dendam dan hasil siasatan polis juga membawa kepada penahanan tujuh suspek. – 22 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen