Terima teguran, Hilman sudah jelaskan pada Anwar ‘pesta’ tidak benar


Nabihah Hamid

Timbalan Ketua Pemuda PKR Hilman Idham berkata ada salah faham sehingga menyebabkan Anwar tidak dapat maklumat sebenar mengenai perincian majlis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2019.

TIMBALAN Ketua Pemuda PKR Hilman Idham berkata beliau sudah menghubungi Presiden parti Anwar Ibrahim untuk menjelaskan program Iftar Perdana yang diadakan hujung minggu lalu bukanlah pesta liar dan tidak menghormati bulan Ramadan.

Katanya, beliau menerima teguran presiden parti namun menjelaskan ada salah faham sehingga menyebabkan Anwar tidak dapat maklumat sebenar mengenai perincian majlis.

“Saya ambil sikap husnuzon (bersangka baik) bahawa Presiden (Anwar Ibrahim) tidak mendapat maklumat yang tepat dan komprehensif.

“Kita mengambil maklum teguran disampaikan namun kita yakin bahawa tidak sedikit pun program dilaksanakan membelakangkan tradisi dan kebudayaan Islam,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hilman, yang juga wakil rakyat Gombak Setia, menjelaskan program pada Ahad itu turut disertai penceramah agama yang menyampaikan tazkirah selain solat berjemaah.

Semalam, Anwar secara terbuka memohon maaf bagi pihak parti ekoran kecaman terhadap majlis berbuka puasa sayap pemuda itu yang dianggap tidak menghormati makna sebenar bulan Ramadan.

Anwar menegur penganjur acara itu, yang menampilkan persembahan lagu dan bunga api yang disamakan dengan suasana ‘pesta-pestaan’.

Hilman atas kapasiti timbalan ketua Pemuda PKR mengadakan Majlis Berbuka Puasa Perdana untuk alumni pelatih kepimpinan program anak muda di Kem Latihan Tun Ghaffar Baba (KGB Kem) di Kemensah, di Gombak, Selangor.

Majlis disertai 500 jemputan termasuk 60 ketua sayap pemuda PKR cabang. The Malaysian Insight difahamkan majlis menjemput semua ketua pemuda cabang, termasuk Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir.

Ketua Pemuda Cabang Hulu Selangor Saifuddin Shafi berkata ada pihak cuba mengelirukan kepimpinan tertinggi terhadap majlis tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2019.

Selain program pengisian Ramadan seperti tazkirah, majlis turut mengadakan rakaman takbir hari raya serta sedikit hiburan bertemakan hari raya seperti nyanyian lagu raya dan percikan bunga api, yang diadakan selepas selesai solat terawih.

Dalam pada itu, Hilman berkata sempena Ramadan beliau mengambil kesempatan untuk merapatkan ukhwah sesama umat Islam.

“Saya mengambil semangat menghindar diri dari sifat hasad dan iri hati serta membelakang prinsip keadilan. Dan pada Ramadan ini saya percaya ia bukan semata-mata bulan mendekat diri dengan Allah tetapi memperkukuh ukhwah sikaturahim dan muafakat khususnya sesama manusia,” katanya yang juga setiausaha politik kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali itu.

Dalam pada itu Ketua Pemuda Cabang Hulu Selangor, Saifuddin Shafi berkata ada pihak cuba mengelirukan kepimpinan tertinggi terhadap majlis tersebut.

“Memang itu jelas tiada unsur pesta yang melampau. Ada pihak cuba mengelirukan presiden dengan tidak memberikan maklumat sebenar. Bagi saya, dalam Islam tidak menghalang bentuk hiburan asalkan tidak melampau.

“Ada bentuk hiburan sederhana yang meraikan semangat Ramadan itu sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insight.  27 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen