Usul hukum pemimpin didakwa cetus ribut dalam Umno, kata ahli parti


SM Amin

Ahli dan pemimpin Umno berpolemik isu cadangan pindaan perlembagaan parti untuk mengenakan tindakan ke atas pemimpin dihadapkan ke mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2019.

UMNO bakal berdepan sabotaj dalaman dan retak sekiranya parti meneruskan cadangan pindaan perlembagaan untuk mengenakan tindakan terhadap ahli Majlis Tertinggi yang didakwa di mahkamah, kata ahli parti.

Cadangan pindaan Fasal 9.9 mengenai kelayakan menjadi ahli Majlis Tertinggi masih belum muktamad tetapi cadangan itu menunjukkan parti kini terbelah berhubung kedudukan Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.

“Kalau hendak pinda fasal untuk gugurkan jawatan pemimpin sekiranya telah didakwa dan didapati bersalah, tidak ada masalah tetapi perinciannya kena ada… kes yang bagaimana, tidak boleh pukul rata.

“Kalau semata-mata untuk menolak atau menjatuh pemimpin tertentu, tidak perlulah. Ini akan menyebabkan perpecahan dalam parti,” kata sumber dalaman parti yang enggan identitinya didedahkan.

Sumber yang maklum mengenai cadangan pindaan itu berkata beliau bimbang usul berkenaan bakal membuka ruang kepada unsur sabotaj dalam parti.

“Bagaimana sekiranya terdapat ketua bahagian yang didakwa di mahkamah atas kes-kes kecil contohnya merokok di tempat awam, tidak bayar parking majlis, adakah perkara itu sama dan terkandung dalam pindaan fasal itu? Kesalahan seperti ini boleh dicipta,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Cadangan pindaan Fasal 9 dalam perlembagaan Umno itu mahu memperkenalkan peruntukan yang membolehkan parti melucutkan jawatan mana-mana ahli Umno yang didakwa di mahkamah.

Seorang sumber pimpinan kanan parti mengesahkan kepada The Malaysian Insight cadangan pindaan itu sedang dalam pertimbangan pada peringkat jawatankuasa dan belum diangkat untuk keputusan Majlis Tertinggi.

Timbul dakwaan kononnya ada usaha mahu menyingkirkan Najib Razak sebagai ketua Umno Bahagian Pekan yang juga ahli Jemaah Penasihat Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2019.

Beliau menjelaskan cadangan pindaan Fasal 9.9 terhad atas pertuduhan jenayah salah laku dan rasuah sahaja.

“Tindakan mengikut fasal yang dicadangkan itu hanya berlaku kalau individu terlibat bersalah selepas selesai semua urusan rayuan di mahkamah,” katanya.

Jawatankuasa pindaan perlembagaan Umno dipengerusikan Naib Presiden Mohamed Khaled Nordin dan kini sedang mengutip pandangan ahli parti.

Cadangan pindaan ke atas Fasal 9.9 itu didedahkan oleh Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub, minggu lalu.

Susulan pendedahan itu, timbul dakwaan kononnya ada usaha mahu menyingkirkan Zahid sebagai presiden Umno dan Najib sebagai ketua Umno Bahagian Pekan yang juga ahli Jemaah Penasihat Umno.

“Saya sengaja timbulkan isu ini lebih awal supaya semua orang sedar apa yang akan terjadi sekiranya berlaku perkara ini. Jangan terperangkap di saat-saat akhir,” kata Mustapha kepada The Malaysian Insight, menjawab pertanyaan kenapa beliau membangkitkan cadangan pindaan tersebut kepada umum.

Jelas beliau, cadangan pindaan itu kalau diangkat ke perhimpunan khas nanti akan menyebabkan parti berpecah antara kelompok yang menyokong Zahid dan Najib, serta kelompok yang mahu perubahan besar dalam parti.

“Keadaan dalam parti sekarang ini sudah cantik, kenapa hendak dikeruhkan keadaan yang tenang.

“Umno fokus dengan penyatuan ummah. Najib mengikut gerakan dia sendiri, tidak ganggu parti pun. Yang duduk mencatur ini pun tidak bergerak mana pun, hanya berani sesama sendiri,” katanya.

Menurut Mustapha, beliau sendiri tidak pasti maksud dan matlamat cadangan pindaan tersebut namun yakin ia tidak akan diluluskan sekiranya dibawa ke perhimpunan khas Umno nanti kerana memerlukan kelulusan ⅔ perwakilan yang hadir.

Bagaimanapun pada Khamis lalu, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata cadangan pindaan Fasal 9.9 Perlembagaan Umno itu hanya khabar angin dan terlalu awal untuk dibincangkan.

“Prosesnya masih panjang dan akan dibincangkan ke peringkat tertinggi, sehinggalah ada syor yang muktamad. Yang kita baca dan ditulis oleh orang tertentu itu hanyalah spekulasi, dan buat masa sekarang belum ada sebarang keputusan apa pun lagi,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Terdapat usaha untuk memujuk Ahmad Zahid Hamidi kembali menerajui parti bagi mengendurkan politik percaturan jawatan yang sedang rancak berlaku dalam Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2019.

Pada masa ini, selain Zahid dan Najib, bekas setiausaha agung Tengku Adnan Tengku Mansor serta bekas ketua Umno Sabah, Musa Aman juga sedang berdepan pertuduhan jenayah di mahkamah.

Umno sedia mempunyai mekanisme menggantung ahlinya yang dikenakan pertuduhan di mahkamah berdasarkan ketetapan yang diluluskan oleh Majlis Tertinggi parti pada Mei 2009.

Bagaimanapun selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu, Annuar menegaskan ketetapan itu tidak terpakai lagi dalam kes Zahid dan pimpinan Umno lain kerana parti sudah bukan lagi kerajaan.

Sementara sumber tidak menolak kemungkinan cadangan pindaan ini merupakan gerakan halus untuk menyingkirkan Zahid sebagai presiden dan Najib yang masih berpengaruh dalam kalangan rakyat.

“Zahid ada kuasa presiden Umno, Najib ada pengaruh dalam dan luar parti. Orang yang nak bawa cadangan ini tidak ada kedua-dua kekuatan itu.

“Jadi kita boleh faham kenapa cadangan ini dibuat,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Sejak Disember tahun lalu, Zahid menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya Mohamad Hasan selepas ditekan untuk letak jawatan susulan parti dilihat tiada hala tuju.

Minggu lalu, The Malaysian Insight melaporkan ada usaha untuk memujuk Zahid kembali menerajui parti bagi mengendurkan politik percaturan jawatan yang sedang rancak berlaku dalam Umno. – 27 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen