Zahid dipujuk kembali jalankan tugas presiden Umno


The Malaysian Insight

Sumber mendedahkan Ahmad Zahid Hamidi sedang dipujuk kembali meneruskan tugasnya sebagai presiden Umno bagi meredakan politiking dalam parti Melayu terbesar itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2019.

AHMAD Zahid Hamidi sedang dipujuk supaya kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno untuk mengendurkan politiking percaturan jawatan yang sedang rancak berlaku dalam parti, kata sumber.

Percaturan politik ini timbul disebabkan kedudukan presiden Umno yang tidak jelas sejak Disember lalu selepas Zahid memberi kepercayaan kepada Timbalannya Mohamad Hasan untuk menjalankan tugas-tugas presiden, jelas sumber.

Usaha memujuk Zahid itu dilakukan oleh pemimpin berpengaruh dalam Umno, katanya.

“Zahid mungkin akan kembali tidak lama lagi. Ada seseorang yang berpengaruh dalam parti sedang memujuk beliau,” kata sumber yang bagaimanapun enggan menamakan siapa pemimpin berpengaruh itu.

Jelas sumber, sejak lebih kurang enam bulan lalu, sudah ada pihak yang mula mencaturkan barisan kepimpinan parti untuk pemilihan akan datang. 

Pemilihan Umno akan datang dijadualkan pada 2021, sekiranya tiada sebarang penangguhan seperti kelaziman dibuat menjelang pilihan raya umum. Pilihan Raya Umum ke-15 perlu diadakan sebelum Julai 2023.

“Tidak pasti siapa dalang yang buat sama ada orang dalam atau luar tetapi sudah ada ‘cai’ (senarai bayangan barisan pemimpin) yang tersebar. 

“Ini semua hendak melagakan-lagakan pemimpin Umno dan mahu melihat parti kembali lemah dan hilang fokus,” kata sumber.

Wujud politiking dalam Umno sehingga meresahkan akar umbi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2019.

Senarai bayangan yang diberi nama “Team Tok Mat” itu membariskan Mohamad sebagai presiden Umno dan Mohamed Khaled Nordin sebagai timbalannya, diikuti tiga calon naib presiden iaitu Asyraf Wajdi Dusuki, Johari Abdul Ghani dan Abdul Rahman Dahlan.

Senarai barisan bayangan ini turut dibincangkan oleh ahli-ahli Umno secara terbuka di media sosial. 

Mereka menyifatkan percaturan politik itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana proses pemilihan Umno masih jauh. Mereka mahu pimpinan atasan memberi perhatian sepenuhnya terhadap pemulihan parti dan strategi menghadapi PRU15.

Bagi mereka, tindakan mengejar jawatan tidak akan memberi sebarang makna sekiranya parti gagal merampas balik kerajaan daripada Pakatan Harapan.

Khabar angin bertiup kencang dalam Umno yang wujud usaha supaya Mohamad Hassan (kiri) menggantikan Ahmad Zahid Hamidi (kanan) sebagai presiden dalam pemilihan parti akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2019.

Umno yang sedang memuktamadkan bentuk kerjasama rasmi dengan PAS yakin pakatan baru dua parti Melayu terbesar itu memberi peluang cerah pada mereka untuk merampas Putrajaya dalam PRU15. 

Kerjasama dengan PAS itu antara lain mahu memastikan pertandingan satu lawan satu antara pembangkang dan PH.

Kedua-dua parti itu dan beberapa penganalisis politik yakin berdasarkan keputusan PRU14, terdapat sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen yang boleh dimenangi oleh BN atau PAS jika tiada pertembungan antara kedua-dua parti itu.

Umno yang sedang memuktamadkan bentuk kerjasama rasmi dengan PAS yakin pakatan baru dua parti Melayu terbesar itu memberi peluang cerah pada mereka untuk merampas Putrajaya dalam PRU15.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2019.

Zahid dalam temuramah dengan The Malaysian Insight awal bulan ini berkata keputusan beliau untuk “bercuti” daripada menjalankan tugas-tugas presiden Disember lalu bertujuan meredakan keadaan dalaman yang bergolak pada masa itu disebabkan tindakan 17 ahli Parlimen Umno yang keluar parti.

Dalam wawancara itu, Zahid menjelaskan semasa pengumumannya itu juga beliau tidak pernah menyebut istilah “bercuti” atau “berehat”.

“Saya mengambil langkah untuk tidak meneruskan tugas sebagai presiden Umno walaupun saya tidak menggunakan perkataan bercuti ataupun berehat.

“Saya menggunakan perkataan memberikan kepercayaan kepada timbalan presiden Umno untuk menjalankan tugas-tugas presiden, ini telah dapat meredakan keadaan sehingga sekarang.

“Tetapi kita tidak boleh terlalu yakin tidak ada tindakan daripada dalaman atau luar untuk terus menggamit mereka yang menjadi ahli Parlimen atau Adun untuk menjadi katak politik untuk berada di seberang longkang.”

Ditanya bila beliau akan kembali untuk memimpin Umno semula, Zahid berkata: “Saya serahkan kepada Allah untuk menentukan”. – 20 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen