TIMBALAN Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi jaminan siasatan mendalam akan dilakukan ke atas dakwaan bekas seorang CEO syarikat telekomunikasi mencabul anak gadisnya sendiri.
Bercakap kepada wartawan pada sebuah majlis di Menara Axiata, Kuala Lumpur hari ini, Wan Azizah berkata walaupun timbalan pendakwa raya sudah mengeluarkan notis “tiada tindakan lanjut” (NFA) untuk kejadian itu, dakwaan pencabulan seksual terhadap kanak-kanak adalah tuduhan jenayah serius.
“Saya difahamkan yang DPP sudah mengeluarkan notis tiada tindakan lanjut untuk perkara itu selepas menerima laporan daripada hospital, polis dan pihak berkuasa lain.
“Bagaimanapun, kami menganggap kejadian ini serius kerana melibatkan kanak-kanak bawah umur. Ia membimbangkan kami. Saya percaya pihak berkuasa akan menyiasat kejadian ini dengan lebih lanjut,” katanya yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.
Kes itu dibongkar akhbar The Star hari ini, yang melaporkan polis akan melakukan siasatan semula terhadap seorang lelaki yang didakwa mencabul kehormatan anaknya.
Semakan semula itu dibuat selepas bekas CEO itu ditahan Khamis lepas kerana menceroboh rumah bekas isterinya dan membuat ugutan bunuh.
Bekas CEO itu bagaimanapun sudah dibebaskan dengan ikat jamin.
Akhbar The Star melaporkan bekas isterinya telah membuat kira-kira 15 laporan polis selepas penceraian mereka tetapi semua diketepikan kerana diklasifikasikan sebagai NFA.
Laporan eksklusif The Star menyebut Penolong Pesuruhjaya Bahagian Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman Choo Lily mengesahkan polis telah mula menjalankan siasatan ke atas laporan yang dibuat sebelum ini.
Beliau berkata, jika ada bukti atau tuduhan baharu, kes itu akan dipertimbangkan semula.
The Star mendakwa mereka telah mendapat salinan laporan polis terdahulu mendapati dakwaan telah dibuat terhadap bekas CEO berkenaan kerana mencabul dua anak perempuannya berusia 10 dan 8 tahun.
Dalam satu laporan yang dibuat pada 8 Mei 2015, anak perempuan sulungnya itu didakwa memberitahu kaunselor bahawa bapanya telah menyuruhnya memegang kemaluannya semasa lelaki itu berbaring di atas katil di sebelahnya.
Ibunya telah membawa kedua-dua anak perempuannya itu ke kaunselor selepas mengesyaki sesuatu yang tidak kena.
The Star yang menyatakan mereka telah menonton video sesi kaunseling itu menyaksikan kanak-kanak berkenaan menggambarkan secara mendalam beberapa perkara yang dilakukan ayah mereka.
Laporan polis dibuat dan kaunselor Nicholas Wong juga telah memfailkan afidavit dengan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di mana beliau menyatakan dalam afidavitnya bahawa dia sentiasa bersedia untuk bersuara di mahkamah kerana mempunyai tanggungjawab di bawah undang-undang untuk melaporkan apa-apa aktiviti tidak bermoral yang dilakukan terhadap kanak-kanak. – 25 Mei, 2019.
Komen