Polis siasat semula laporan dakwa bekas CEO cabul anak


POLIS menyiasat semula laporan sejak 2015 yang mendakwa seorang bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat telekomunikasi mencabul anak, lapor The Star

Laporan itu memetik kenyataan polis Bukit Aman yan mengesahkan pasukan itu mula membuat siasatan semula berdasarkan laporan oleh bekas isteri lelaki berkenaan.

Ia memetik kenyataan Penolong Pengarah Bahagaian Siasatan Wanita dan Kanak-kanak Choo Lily yang berkata, kes itu akan dipertimbangkan semula jika terdapat bukti baharu.

Siasatan dimulakan semula selepas individu berkenaan ditangkap pada Khamis kerana didakwa menceroboh masuk rumah bekas isterinya dan membuat ancaman bunuh terhadap wanita itu dan keluarganya.

Bekas CEO itu bagaimanapun dilaporkan sudah dibebaskan dengan ikat jamin.

Bekas isteri lelaki berkenaan dilaporkan membuat sekurang-kurannya 15 laporan polis selepas mereka bercerai tetapi kesemuanya diklasifikasi sebagai NFA (tiada tindakan lanjut) oleh Timbalan Pendakwa Raya.

The Star menyebut, laporan polis itu antara lain mendakwa bekas CEO berkenaan mencabul dua anak perempuannya berusia 10 dan 8 tahun.

Dalam satu laporan bertarikh 8 Mei 2015, lelaki itu didakwa menyuruh anak perempuan sulung memegang kemaluannya semasa berbaring di atas katil di sebelahnya.

Ibunya dilaporkan membawa kedua-dua anak perempuannya itu untuk bertemu kaunselor selepas mengesyaki sesuatu yang tidak kena.

The Star melaporkan, video sesi kaunseling itu menunjukkan kanak-kanak berkenaan menyatakan secara terperinci beberapa perkara yang dilakukan ayah mereka.

Menurut The Star, penasihat undang-undang Nicholas Wong memfailkan satu afidavit mengenai aktiviti tidak bermoral yang didakwa dilakukan terhadap kanak-kanak terbabit.

Pada September tahun sama, satu lagi laporan polis dibuat selepas anak perempuan bongsu mengadu sakit perut dan mual kepada seorang jururawat di sekolahnya.

Dia kemudian dibawa ke Hospital Pantai untuk mendapatkan rawatan perubatan dan doktor kemudiannya merujuk kes berkenaan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk pemeriksaan lanjut.

Doktor di PPUM dilaporkan menasihatkan ibu mangsa membuat laporan polis kerana mengesyaki kanak-kanak itu dicabul. – 25 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen